Wednesday, October 13, 2010

Konspirasi?…..di sebalik status ‘tidak layak’ Izzah

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin PKR mengkritik keputusan yang menolak ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar daripada turut bertanding jawatan timbalan presiden dan menyifatkan tindakan itu sebagai wujud ‘konspirasi’.

Mereka mendakwa tarikh 10 Oktober untuk setiap cabang menghantar keputusan pencalonan masing-masing sebagai tidak masuk akal.

Menurut Naib Presiden Jeffrey Kitingan, Izzah perlu dibenarkan bertanding jawatan itu memandangkan beliau mempunyai kelayakan selepas mendapat pencalonan yang diperlukan.

"Apa yang parti buat kepada Nurul adalah sesuatu yang tidak adil," katanya .


"Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat perlu mengambil serius perkara ini dan perlu menimbangkan segala implikasi hal ini terhadap parti. Saya juga tidak sedar mengenai tarikh itu," katanya.

Manakala menurut ahli Majlis Pimpinan Pusat, S Manikavasagam mencadangkan tarikh itu dilanjutkan kepada 16 Oktober bagi melayakkan Izzah bertanding jawatan nombor dua itu.

"Ini akan memberi peluang kepada Cabang-Cabang untuk memperbaiki masalah-masalah salah faham yang mungkin telah terjadi sebelum ini," katanya.

Cabang tidak dimaklum mengenai tarikh

Dalam pada itu, dua cabang di Semporna (Sabah) dan Selangau (Sarawak) tidak dimaklumkan mengenai tarikh tutup (10 Oktober) itu.

Ketua cabang masing-masing melalui kenyataan medianya nyata kecewa dengan keputusan yang diumumkan Setiusaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Ketua Cabang Selangau Steven Epay Ganing, berharap kepincangan yang berlaku dalam pengurusan parti tidak menyekat Izzah untuk bertanding.

"Kami lihat ia sebagai kepincangan pihak pengurusan kerana gagal menyelaras pilihan raya dalaman parti dan kami juga berharap bahawa ini bukan satu tindakan untuk menyekat Nurul Izzah daripada bertanding," katanya.

Bagi ketua cabang Semporna Lukman Uri pula mengharapkan ketelusan dalam melaksanakan demokrasi yang dicanang PKR.

"Saya harap pemilihan ini sebagai melaksanakan demokrasi dan bukan hanya bergerak sebagai batu loncatan bagi individu- individu tertentu melaksanakan agenda peribadi," katanya.

Saifuddin yang dihubungi FMT semalam memberitahu, setiap cabang perlu menghantar selewat-lewatnya 10 Oktober ini bagi keputusan akhir pencalonan bagi cabang masing-masing.

Kenyataan Saifuddin itu turut mendapat reaksi berbeza daripada Pengerusi JPP Dr Molly Cheah yang ternyata tidak dimaklum mengenai tarikh itu juga.

Cheah berkata beliau akan berbincang dengan Saifuddin mengenai hal itu.

"Saya tidak tahu mengenai tarikh itu dan saya akan menghubungi Saifuddin untuk berbincang mengenai hal ini," katanya.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails