Wednesday, October 20, 2010

Kes Aminulrsyid: Saksi Lapor Apa Yang Dilihat Dan Didengar

Shah Alam: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen semalam, beliau hanya membuat laporan polis mengenai apa yang didengar dan dilihatnya, selepas tiga hari Aminulrasyid Amzah, mati ditembak pada awal pagi 26 April lalu.

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 29, berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 11, bersama abangnya dan peguam Fadiah Naewa Fikri selepas bercerita kejadian itu kepada peguam yang dilantik keluarga rakannya, yang juga abang Aminulrasyid.

Katanya, sebelum itu beliau berjumpa dan berbincang dengan keluarga Aminulrasyid sebelum beliau sendiri membuat laporan polis tanpa diajar mana-mana peguam, bagi membantu keluarga rakannya itu.


“Saya menceritakan apa yang berlaku ketika kejadian kepada anggota polis yang mengambil keterangan saya ketika membuat laporan itu, ” katanya ketika memberi keterangan di depan Hakim Latifah Mohd Taha dalam perbicaraan kes Koperal Jenain Subi, 48, atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Jenain yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, pada jam 1.10 pagi, 26 April lalu.

Terdahulu, Zafrullah memberitahu mahkamah, ketika berjalan ke tempat kejadian pada awal pagi 26 April lalu, beliau cuba menghubungi abang Aminulrasyid yang juga rakannya, Muhammad Shahreeman Putra, 29, untuk memberitahu kejadian yang berlaku tidak jauh dari simpang lorong menuju ke rumah mangsa di Jalan Makyong 11/2G.
Katanya, beliau ketika itu tidak menyedari mangsa dalam kejadian itu adalah adik rakannya.

Beliau berkata, pada jam 8 pagi hari sama, Muhammad Shahreeman Putra menghubunginya sebelum beliau ke rumah kawannya itu.

“Selepas beliau menghubungi saya, saya ceritakan kejadian itu. Beliau kemudian beritahu kereta putih milik kakaknya hilang dan adiknya juga hilang, ” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan dan pembelaan turut ke tempat kejadian dan rumah Zafrullah Ahmad pada jam 9.30 pagi untuk membolehkan saksi menerangkan dengan lebih jelas apa yang dilihatnya pada hari kejadian.

Mereka mengambil masa kira-kira setengah jam untuk meninjau tempat kejadian. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam Salim Bashir.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails