Thursday, October 7, 2010

Jawapan kepada Fitnah UMNO Balik Pulau mengenai isu Harga Tanah di Pondok Upeh

Dibawah tajuk "Harga ambil tanah Pondok Upih rendah" Berita Harian hari ini (07/10/2010) melaporkan melaporkan..

BALIK PULAU: Cadangan pengambilan balik tanah seluas kira-kira 36 hektar oleh kerajaan negeri untuk dijadikan tapak cawangan universiti asing di Pondok Upeh di sini, didakwa menganiaya pemilik tanah terbabit kerana harga yang ditawarkan kira-kira 50 peratus lebih rendah daripada nilai pasaran.

Notis pengambilan tanah mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 sudah dikeluarkan pada Ogos lalu, dan harga tanah yang ditawarkan ialah RM8 sekaki persegi sedangkan nilai semasa kira-kira RM16 sekaki persegi. Difahamkan, proses pengambilan tanah itu kini di peringkat akhir.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Syed Ameeruddin Syed Ahmad, mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang menawarkan harga tanah yang begitu rendah berbanding nilai pasaran.

Malah, katanya, ada pihak yang membeli tanah di sekitar kawasan berkenaan berharga RM40 kaki persegi.

“Ini seolah-olah ada perkara yang tidak betul berlaku kerana harga yang ditawarkan terlalu rendah,” katanya selepas melancarkan Kempen Sumbangan Pakaian Terpakai Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir Pakistan di sini, semalam.


Kempen sebulan itu dianjurkan Pemuda UMNO bahagian itu. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Aziaan Ariffin.

Syed Ameeruddin berkata, kerajaan negeri juga bercadang melakukan pengambilan balik tanah di Kampung Genting di sini, juga untuk dijadikan tapak cawangan sebuah lagi universiti, yang turut dijangka membabitkan keluasan hampir sama dengan tapak di Pondok Upeh.

Tapak cadangan itu yang kini dimiliki seramai 29 tuan tanah, menempatkan rumah serta kebun buah-buahan.

"Kami difahamkan kerajaan negeri juga akan mengambil tanah itu dan harga yang ditawarkan juga rendah berbanding nilai pasaran," katanya.

Berikutan itu, UMNO Balik Pulau membantah cadangan pengambilan balik tanah berkenaan dan mahu kerajaan negeri membatalkannya.

Selain pampasan yang rendah, Syed Ameeruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, berkata UMNO membantah cadangan membina universiti di Balik Pulau kerana mahu mengekalkan kawasan hijau serta perkampungan tradisi.

"Kami tidak membantah kerajaan negeri membina universiti, tetapi mesti pilih kawasan yang sesuai dan semestinya bukan di Balik Pulau yang mahu dikekalkan sebagai kawasan hijau," katanya.

Beliau berkata, jika cadangan pembinaan dua universiti itu diluluskan, kawasan hijau dan perkampungan tradisi di sini akan lenyap secara beransur-ansur akibat pembangunan pesat bagi menampung keperluan institusi berkenaan.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Balik Pulau akan menyampaikan bantahan itu kepada kerajaan negeri dan juga agensi Kerajaan Pusat supaya cadangan pembinaan universiti dibatalkan.- Berita Harian

Dan berikut pula adalah laporan mengenai harga tanah tersebut dan penafian tentang terdapat universiti dari luar negara yang telah mengesahkan kemasukannya ataupun memulakan kerja pembinaan di tapak itu lampiran asal yang ditandatangani sila lihat pada link yang disertakan dibawah..

Kepada Pihak Media,

Adalah saya merujuk kepda perkara di atas. Bersama-sama ini disertakan lampiran laporan asal tersebut dengan tandatangan Tuan Haji Jusni bin Haji Ismail. Sekian, terima kasih.

-----------------------------------------------------------------------------------

Adalah saya memaklumkan bahawa pengambilan balik milik tanah di Pondok Upeh bagi tujuan awam mendirikan hub pendidikan cemerlang Pulau Pinang telah diwartakan pada 27 Ogos 2009 di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan 1960.

Pada peringkat ini Pentadbir Tanah Daerah Barat Daya telah pun mengeluarkan Award (Borang H) kepada tuan tanah iaitu Gin Poh Holdings Sdn. Bhd. pada 8 September 2010. Lot-lot tanah terlibat telah dibuat penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Pulau Pinang dan pihak Pentadbir Tanah telah membuat Award tersebut berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian Malaysia Pulau Pinang.

Aduan menyatakan bahawa Award sebanyak RM8.00 sekaki persegi yang dinyatakan di dalam akhbar adalah tidak benar kerana penilaian tanah tersebut berbeza-beza statusnya yang berkaitan tanah yang diambil.

Amaun pampasan yang diberikan berbeza-beza mengikut status tanah berjumlah keseluruhan berjumlah RM40,161,639.50 juta mengikut Jabatan Penilaian Malaysia.

Pentadbir Tanah juga memaklumkan kepada tuan tanah bahawa, mengikut peruntukan undang-undang, mereka boleh membuat bantahan ke Mahkamah sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan tawaran pampasan yang dikemukakan melalui Borang H.

Bagi kedudukan pengambilan tanah hub pendidikan di Kampung Genting, pada masa ini pihak Pentadbiran Tanah masih belum lagi menjalankan siasatan dan sedang menunggu penilaian terakhir dari Jabatan Penilaian bagi menentukan jumlah pampasan yang patut dibayar.

Oleh kerana proses pengambilan tanah masih berjalan, adalah fitnah langsung dakwaan bahawa terdapat universiti daripada mana-mana negara yang mengesahkan kemasukannya ataupun memulakan kerja pembinaan di tapak itu.

Sekian, untuk makluman.

( HJ. JUSNI BIN HJ. ISMAIL )
Pentadbir Tanah
Daerah Barat Daya
Pulau Pinang.


Salinan dokumen asal sila lihat di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails