Thursday, October 21, 2010

Gulingkan MB?.. Tak semudah itu Azmin..

Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim mendakwa dirinya tidak tahu sama ada wujudnya cubaan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali untuk menggulingkan beliau, tetapi hanya meneka bahawa pengikut Azmin atau mereka yang berminat mungkin menyimpan niat ini. Bagaimanapun, Khalid mengingatkan bahawa bukan mudahnya untuk menggulingkan seseorang Menteri Besar, kerana perlu mendapat lampu hijau daripada rakan parti Pakatan Rakyat.

Demikianlah kata-kata Khalid Ibrahim yang baru menarik diri dari pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada 16 Oktober 2010. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview di pejabat Menteri Besar pada 18 Oktober 2010, Khalid Ibrahim ditanya sama ada benar Azmin Ali cuba menggulingkannya, sebagaimana yang tergambar dalam persepsi umum.


"Dia (Azmin Ali) tak boleh senang (melakukannya). Ini bukan satu perkara yang senang boleh menggulingkan Menteri Besar. Itu sebab orang ingat satu parti Keadilan boleh menggulingkan Menteri Besar, ini tidak benar. Walaupun parti Keadilan saya mewakilinya, untuk pemilihan Menteri Besar dia perlu mendapat sokongan dan cadangan dari ketiga-tiga parti, iaitu Keadilan, PAS, dan juga DAP. Ketiga-tiga mesti bersetuju yang ini dilakukan. Kemudian mereka juga akan meminta ehsan dari Tuanku Sultan supaya perkara ini dipersetujui," katanya.

Beliau menyambung, "Sudah tentulah, seseorang itu nak menggulingkan Menteri Besar, dia mesti mendapat persetujuan dari pihak DAP dan juga dari pihak PAS. Kalau mereka tidak mendapat persetujuan, maknanya sukar untuk dilakukan."

"Kedua, keadaannya di Selangor, parti Keadilan dan DAP agak sama dari segi jumlahnya. Dan oleh sebab itu, kalau ada kehilangan kerusi oleh parti Keadilan, sudah tentu mungkin DAP ingin mencadangkan ahlinya," sebelum beliau menambah, "Suratkhabar memang senang boleh membuat andaian, tetapi perlaksanaannya bukan senang..."

Beliau ditanya lagi sama ada wujudnya cubaan untuk menggulingkannya, Khalid Ibrahim menjawab, "Itupun saya tak tahu cubaan dia. Tapi boleh jadi pengikut-pengikut daripada Azmin Ali ataupun yang berminat. Tapi saya rasa, kalau orang pandai dari segi political administration dan sebagainya, perkara ini bukan boleh dibuat dengan sesenang mungkin."

Tidak khuatir kalau Azmin menang

Wartawan menyusul dengan soalan sama ada Khalid Ibrahim yakin untuk mendapat sokongan dari PAS dan DAP dalam perkara ini?

Itu sebab saya juga mesti dengar pandangan daripada PAS, pandangan daripada DAP, pandangan daripada Parti Keadilan. Kalau saya agak, terlalu tertumpu kepada Parti Keadilan, nanti PAS dan DAP akan mempunyai pandangan yang lain. Jadi, oleh sebab itulah saya mesti menunjukkan profesionalisme saya, maknanya untuk membolehkan saya memerintah ataupun mentadbir di negeri Selangor dengan adil, (menjaga) kehendak Parti Keadilan, kehendak PAS dan kehendak DAP," jawabnya.

"Tapi saya bernasib baik. Ketiga-tiga parti ini mempunyai kehendak yang sama, supaya mentadbir dengan baik, dengan amanah, dan juga memberikan keutamaan kepada kebajikan mereka yang perlu ditolong, dan menumpukan kepada pembangunan dan pendidikan. Dan semua ini sudah kami jalankan."

Namun demikian, adakah Khalid Ibrahim risau bahawa kedudukannya mungkin tergugat seandainya Azmin Ali terpilih sebagai Timbalan Presiden?

"Tak ada, saya tak ada risau. Sebab ini akan berlaku selepas PRU ke-13. Bukan sekarang. Jadi maknanya untuk ini, sampai ke pilihan raya ke-13, saya rasa perkara itu tak tergugat. Tapi perkara itu akan berlaku selepas itu. Selepas itu pun, mesti ada persetujuan ketiga-tiga parti."

Dalam Kongres Tahunan yang berlangsung pada Mei 2010, PKR diselubungi suasana muram lantaran kekalahan dalam PRK Hulu Selangor. Kehilangan kerusi parlimen dalam negeri yang ditadbir parti sendiri seolah-olah satu tamparan kepada PKR sendiri. Lebih-lebih lagi, skandal kecurian pasir di negeri Selangor terdedah pada ketika itu, lantas Khalid dijadikan tumpuan kritikan dalam parti.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan ahli jawatankuasa Biro Politik, Chua Jui Meng pada ketika itu mendesak agar jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri dibuka untuk anggota PKR. Mengimbas peristiwa tersebut, MerdekaReview bertanya sama ada Khalid Ibrahim merasakan kedudukan dirinya tergugat pada ketika itu?

"Tak ada, sebab saya rasa saya mesti, you must be humble (kamu mesti rendah diri). Kerana saya tahu, dari segi kerja, saya tidak bimbang. Tetapi dari segi pemahaman terhadap kemahuan politik umum, saya mungkin tidak mempunyai pengalaman yang luas dan lama. Jadi, dalam konvensyen di Kota Bahru menunjukkan...."

"Beliau meneruskan, "Pertama, saya menghargai komen mereka, kehendak mereka, keperluan mereka. Tetapi, saya tidak harus menggadaikan keperluan rakyat Selangor semata-mata untuk menggembirakan mereka. Jadi, saya harus menyeimbang antaranya. Tetapi saya perlu mendengar. Sebab, kalau kamu seorang pemimpin kumpulan kamu, kamu perlu mendengar kepada kehendak dan komen mereka."

"Namun, saya juga perlu memastikan, hasil daripada reaksi saya terhadap segala-gala ini tidak akan menjejaskan kebajikan dan kepercayaan seluruh rakyat Selangor, yang mana harus saya kendalikan. Jadi saya harus mencari kesimbangan antaranya," jelas beliau.

Menerima kritikan

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim cuba meredakan suasana ketika itu, sambil mempertahankan Khalid sebagai Menteri Besar dengan syarat beliau menunjukkan prestasi yang unggul menjelang kongres parti pada hujung tahun. Jadi, apakah perubahan selepas empat bulan?

Khalid berkata, beliau telah membuka peluang kepada seluruh anggota untuk menilai pentadbiran negeri Selangor, misalnya dialog bersama rakyat, dan rundingan dengan rakyat sebelum merangka Belanjawan 2011 negeri Selangor. Di samping itu, beliau cuba memberi ruang kepada penyertaan anggota parti dalam kerajaan negeri Selangor, tetapi tetap berpegang kepada prinsip bahawa tiada tempat untuk anggota parti yang tidak berkemampuan.

Ketika ditanya sama ada beliau berada dalam dilema ketika mengendalikan isu ini, Khalid Ibrahim berkata, "Tapi, kita hanya mendapat dilema jika perkara itu tidak dilakukan dengan betul. Umpamanya, walaupun seseorang itu boleh, mendapat tanggungjawab dalam pentadbiran negeri, tetapi dia mesti berasaskan kepada prinsip kebolehan dan keupayaan. Kalau ahli kita tidak mempunyai keupayaan, kita tidak boleh memberikan peluang tersebut."

"Kedua, kita juga mesti menolong negeri, sebab, kalau orang yang tak berkebolehan, dia akan menyusahkan negeri, bukan menolong negeri. Jadi, ketiga, sudah tentulah orang-orang parti komponen kita, PAS dan juga DAP akan juga menilai sama ada keputusan kita itu dibuat secara profesional atau tidak."

Beliau berkata, "Jadi pada saya, permintaan oleh Chua Jui Meng dan Azmin Ali adalah valid, adalah valid. Kita mesti mengutamakan rakan-rakan kita. Tetapi hanya dia kata, mereka-mereka ini mempunyai keupayaan dan kebolehan sahaja. Kalau tidak, dia akan juga merosakkan persatuan dan pembangunan yang kita lakukan."

Melihat kepada barisan pemimpin yang dilantik untuk bekerja bersama Khalid Ibrahim, seperti Elizabeth Wong dan Syed Shahir, malah anggota Jawatankuasa Khas yang dilantik seperti Tian Chua dan Irene Fernadez, barisan yang berasal dari latar balakang badan bukan kerajaan (NGO). Wartawan bertanya sama ada ia menggambarkan tekad Khalid Ibrahim untuk menyerap pemimpin NGO ke dalam politik dirinya?

Beliau menjawab, "Salah satu daripada sebab saya nak masuk politik ialah memberikan nilai tambahan kepada rakyat. Saya terima perkara tersebut. Sudah tentulah mereka-mereka yang saya sebut nama ini ada sangat mesra memperjuangkan idealisme untuk rakyat."

Beliau menyambung, "Kedua, mereka ini bukan 100% dari parti tapi daripada NGO. Betul. Tapi bukan satu kumpulan yang sama. Ada kumpulan yang berbeza-beza. Tapi inginkan keadilan dan memperjuangkan demokrasi. Itu betul. Jadi pada saya, kedua-duanya penting dalam zaman politik yang akan datang, bukan sahaja kita berpolitik, tetapi kita mesti ada idealisme dari segi pembangunan masyarakat."

Malah, Khalid Ibrahim mengakui dirinya berkecimpung dalam politik pada peringkat yang agak lewat. Dari segi pentadbiran, beliau mempunyai pengalaman yang banyak. Tetapi dari segi pemahaman politik, beliau mengakui bahawa dirinya memerlukan nasihat dan pengalaman mereka.

"Itu sebabnya saya memilih kumpulan ini. Ia lebih daripada politik untuk kepentingan politik, tetapi politik untuk untuk mengimplementasikan idealisme yang didukung," kata bekas tokoh korporat ini.
Menteri besar atau menteri kabinet?

Jawapan beliau mencungkil minat wartawan untuk bertanya, sama ada beliau yang biasa berkecimpung dalam dunia korporat, berasa kecewa apabila berdepan dengan taktik-taktik kotor dalam arena politik?

"Tak ada, ini satu cabaran baru. Tapi orang mesti mengkaji daripada latar belakang saya. Saya sudah menjadi ahli korporat dan sudah lama bekerja. Pada saya, penyertaan saya dalam politik negara adalah untuk memberi sumbangan kepada negara. Dan juga kepada parti yang saya ungkit tadi. Dan, saya bukan mempunyai ambition (cita-cita) untuk pergi lebih jauh. Kerana, dalam kerjaya saya, saya telah mencapai satu tahap, yang menjadi kebanggaan untuk kebanyakan orang."

Beliau berterus-terang, "Jadi, saya tak dapat kerja pun tak ada apa. Tapi saya hanya melakukan satu-satu kerja yang sesuai supaya menjaga nama baik saya dan juga menjalankan tugas dengan baik. Jadi kalau saya, katalah tak ada bekerja, saya tidak jadi masalah dalam kerjaya saya."

"Saya berada pada kedudukan yang tiada kehilangan apa-apa (no lost position). Jadi saya tidak berminat untuk menjual diri atau orang lain semata-mata untuk kerja itu. Maknanya kalau orang suruh buat, satu perkara yang tidak betul, kerana saya nak jaga jawatan Menteri Besar, saya tidak akan buat, sebab saya lebih pentingkan perkara yang betul."

Malah, Khalid Ibrahim menekankan, "Saya tidak berminat untuk cuba mengekalkan kerjaya saya kalau saya rasakan ia akan menjejaskan sejarah posisi saya. Jadi saya tak ada takut. Itu sebab saya senang."

Ketika ditanya sama ada Khalid Ibrahim akan menjadi Menteri Besar atau menteri kabinet, seandainya Pakatan Rakyat menang dalam PRU yang akan datang, Khalid Ibrahim berkata, "Itu terpulang. Saya tidak mahu membuat keputusan sekarang. Itu terpulang. Sebab saya nak tengok apa keputusan rakyat. Itu yang paling penting. Bukan kerana saya. Keputusan rakyat. Pilihan raya yang ke-13 ialah satu keputusan rakyat yang mesti kita timbang dulu sebelum kita buat keputusan-keputusan. Sebab, serupa juga pada pilihan raya yang ke-12, kita kena tunggu keputusan rakyat."

"Tsunami (politik) 2008 ialah hasil daripada keputusan rakyat. Lepas keputusan rakyat, barulah ada Pakatan Rakyat. Sebelum tu belum ada lagi Pakatan Rakyat, walaupun ada...," beliau sambung, "Jadi kita perlu tunggu. Saya rasa keputusan itu akan memberikan kita peluang untuk kita merancang, dan menubuhkan satu pasukan yang mantap sebab kita tahu kehendak rakyat. Jika perlu saya jadi Menteri Besar. Saya jadi Menteri Besar. Jika perlu saya jadi Menteri dalam (kabinet), kalau kita menang di pusat, saya juga bersedia. Tapi saya tidak nak buat apa-apa keputusan sekarang."

Wartawan cuba membangkitkan cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengehadkan agar calon Pakatan Rakyat hanya bertanding sama ada kerusi DUN atau Parlimen sahaja, sebagai cubaan untuk mendapatkan jawapan dari mulut Khalid.

Namun beliau tetap tidak memberi jawapannya, "Itupun kita akan buat sebelum pilihan raya. Tak boleh kita buat sekarang. Jadi maknanya kita mesti tahu, strategi dan taktik kita mesti betul. Kalau kita dedahkan strategi dan taktik kita sekarang, ia akan menjejaskan kami sendiri."


MerdekaReview

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails