Sunday, October 10, 2010

Galas: Kalah menang tak tahu lagi

Oleh - Tan Sri Abdullah Ahmad

Seorang Anggota Parlimen UMNO dan isterinya balik awal dari majlis makan malam sempena sambutan hari jadi ke-70 tahun kawannya dan saya pada Jumaat malam. Katanya dia akan pagi esok (Sabtu) awal-awal selepas subuh ke KLIA menyambut kepulangan pengarah-designate pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan Galas.

Kepulangan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang kelihatan 'segar, sihat dan riang' dari cuti dan rehat di Eropah disambut agak luar biasa daripada kelaziman orang balik bercuti. Ini kerana dia bakal dilantik dengan rasminya Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Galas, penamaan calonnya pada 26 Oktober dan pengundian November 4. Mengikut yang hadir, Ku Li 'sedia dan ready’ di bawah kepimpinannya cuba merampas kerusi Galas yang dimenangi calon Pas, Chek Hashim Sulaiman dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008 dengan kelebihan undi hanya 646 mengalahkan calon UMNO, Mohd Saufi Deraman.

Perasaan optimis kepimpinan tertinggi UMNO jelas berdasarkan kehadiran Ku Li secara langsung dalam pilihan raya kecil ini dan juga kemenangan tipis Pas 65 undi dalam pilihan raya kecil di Manik Urai, Kuala Krai.


DUN Galas sebelum 8 Mac 2008 adalah kubu kuat UMNO dan Ku Li. Namun begitu seperti ditegaskan oleh dua orang tokoh – ADUN Hulu Besut Nawi Mohamad bahawa pengaruh Ku Li bukan penentu dalam pilihan raya ini kerana Galas telah ditewaskan oleh Pas dua tahun lepas dan Ahli Parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali pula menyifatkan kepimpinan UMNO peringkat nasional dan juga negeri terlampau sangat menumpukan pilih individu sepatutnya penekanan diberikan kepada dasar dan bakal dasar kerajaan.


Politik dan pilihan raya adalah sebahagian perusahaan hiburan – Galas tidak terkecuali. Celah Speaking, ‘...entertainment branch of industry’ . Politik, domestik dan luar negara, sering menghibur, ada kala menakutkan! Kadang kala menggelikan hati! Siapa kata hanya penyanyi, pemuzik, pelawak, pemain sukan dan ‘anak wayang’ sahaja penghibur? Pada saya, penghibur terbaik dan percuma ialah politikus. Saban hari dan masa kita dihiburkan oleh mereka free, cerita dan gosip tentang mereka dan ambisi atau cita-cita mereka- setengahnya keterlaluan!

Berkatalah setengah manusia, ‘Ku Li Gua Musang dan Gua Musang Ku Li’. Sebab itulah mutakhir ini pemimpin yang boleh menolong merampas Galas dicari, dipujuk dan diberi kehormatan.

Secebis sejarah Gua Musang yang ramai tidak mengetahuinya. Besar kawasan Gua Musang adalah tiga atau empat kali ganda dari Negeri Sembilan, satu kawasan yang strategik dan kekayaan sumber buminya amat besar dan belum diterokai sepenuhnya. Apabila darurat atau emergency diisytiharkan oleh kerajaan penjajah British Jun 1948 dan berakhir selepas merdeka (1948-1960), Gua Musang diisytiharkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai liberated zone atau kawasan bebas. Seratus orang gerila komunis di bawah pimpinan Kim Siong telah menyerang Balai Polis Gua Musang yang dianggotai seramai 14 orang polis dan ditawan, dibebas kembali oleh tentera British lima hari kemudian. Mengikut sumber British dan telah dibukukan oleh Anthony Short – ‘In Pursuit of Mountain Rats – The Communist Insurrection in Malaya’ penaklukan oleh gerila komunis itu telah disokong oleh majoriti penduduk Cina di Pulai. Pulai adalah antara kawasan penempatan Cina yang tertua di Kelantan dan tidak begitu terdedah kepada unsur-unsur kekelantanan seperti kawasan Cina yang lain.

Penduduknya terdiri daripada orang Cina, Asli, Melayu serta India. Tetapi kehadiran orang Melayu dan India adalah generasi ketiga atau keempat; sebelum darurat hanya segelintir Melayu dan India sahaja – pekerja kereta api Tanah Melayu – tinggal di Gua Musang. Gua Musang mulai membangun selepas penempatan semula manusia zaman darurat, selepas merdeka, pembukaan tanah secara kecil dan besar apa lagilah rancangan tanah tersusun berlaku apabila UMNO merampas Kelantan dari Pas pada tahun 1978.


Tetapi mengikut Mohamad Nawi dan Ibrahim Ali yang diagak tidak begitu bersetuju walaupun mengakui ketokohan Ku Li personaliti diberi penekanan begitu rupa. Saya harap ‘faktor’ Ku Li ini benar-benar mempengaruhi seperti yang diharapkan. Mengikut .pemimpin UMNO Kelantan, ‘yes and no’ kerana kadangkala Ku Li, mengikut mereka, seperti ahli pembangkang dalam tindak tanduknya akhir-akhir ini: royalti minyak antaranya.' Celah Speaking, ‘how does Ku Li’s acceptance to lead UMNO’s efforts in the by-election square with his stand on oil royalty? – bagaimana pendiriannya tentang royalti sekarang?’ Adakah Perdana Menteri Najib kerana mahu memenangi Galas sanggup pula membayar royalti kepada Kelantan? Kalau begitu baguslah!. Ramai pemerhati berpendapat mereka tidak yakin Perdana Menteri sanggup menjilat air ludahnya sendiri!

Ku Li telah mewakili kawasan Parlimen Gua Musang semenjak 1974 dan sebelum itu dia adalah ADUN Hulu Kelantan pada 1969 dan ketua pembangkang dalam masa yang sama. Pemimpin UMNO yang mencadangkan Ku Li sebagai calon pilihan raya kecil Galas jelas tidak kenal Ku Li dari dekat dan buta sejarah politik Kelantan.

Penganalisis politik Cina, Ong Kian Ming dalam Sun, Oktober 6 seperti dipetik oleh Oon Yeoh, konsultan media, berkata, ‘Ku Li lebih berkesan menjauhi pengundi daripada menyokong BN’. Tetapi rasional mahu meletak Ku Li sebagai pengarah pilihan raya kecil adalah untuk memikat pengundi!

Mengikut pendapat ramai pendirian pengundi Cina 20.06 peratus daripada 11,553 pengundi walaupun MCA mendakwa akan menyokong BN tidak berubah seperti 8 Mac 2008.

Apabila undi Melayu (61.67 peratus) berpecah belah – sudah tentu berlaku kerana UMNO menentang Pas yang disokong oleh PKR dan ahli UMNO yang ‘berona’ apa sebab pun 'memberontak' secara senyap. Undi Cina dan orang asli akan menentukan siapa menang dan kedua-dua undi itu signifikan.

Lagipun undi orang Asli (16.35 peratus) juga akan berbelah dan tidak boleh dianggap lagi sebagai 'simpanan tetap' Ku Li berdasarkan apa yang berlaku di Kelantan masa ini. Tegas seorang pegawai pentadbir Kelantan pada saya: ‘ dulu UMNO berpeluang baik tetapi perkembangan mutakhir dalam situasi Kelantan nampaknya yidak memihak kepada Ku Li dan UMNO’.

Pendekatan Pas sebagai ‘underdog’ cerdik. Kalau pun UMNO menang, Kerajaan Negeri Pas tidak langsung terjejas, kedudukan dua pertiganya dalam DUN Kelantan kekal. Kalau Pas dapat mempertahankan Galas di mana Ku Li mahu letak muka... tanya seorang peminat Ku Li kepada saya. Kenapa tambahnya baru sekarang tiba-tiba pemimpin. tertinggi UMNO cari Ku Li?

Gembira atau sedih, hajat mereka telah terkabul, tegas seorang ketua UMNO yang tidak mahu Ku Li memimpin kempen di Galas. Tambahnya kalau kalah Ku Li akan disimpan di dalam peti sejuk UMNO seperti sebelum Galas. Kalau menang apa yang mereka boleh beri pada Ku Li, tanyanya dengan sinis, ‘ambo raso Ku Li sudah diperangkap oleh mereka!’

Kalau dengan Ku Li dan meriam-meriam besar pun UMNO kalah di Galas, itu petanda tidak cerah bagi UMNO. Ripakasi (repercussion) akan menggegarkan kerana build up.‘Ku Li Gua Musang dan Gua Musang Ku Li’ oleh pemimpin UMNO agak keterlaluan. Pendekatan yang terbaik adalah UMNO masuk di Galas sebagai 'underdog'. Kalaulah saya penasihat Pas, saya pujuk Pas meletak seorang calon yang status keintektualan, kelebaian, umur dan keluarganya kamil dan berpotensi dan anak kelahiran Gua Musang yang boleh menyukarkan UMNO. Andainya saya pula strategis UMNO - agak sudah terlewat, masuklah bertanding di Galas sebagai 'underdog.' Lupalah sejarah kegemilangan UMNO di Galas dan di Gua Musang sebelum 8 Mac 2008. Letaklah seorang calon yang setanding atau lebih hebat daripada calon Pas! Pandang ke hadapan, bukan ke belakang! Bertandinglah dengan harapan menang. Kalau pun tewas dengan kehormatan, prestij diri, parti dan kerajaan terpelihara.

Ada satu pendapat. Terang Speaking: ‘If UMNO makes it in Galas, it’s a pyrrhic victory – yakni mengikut terjemahan Oxford Fajar English-Malay Dictionary adalah satu kemenangan yang tidak ada gunanya kerana pemenangnya kehilangan banyak dalam kemenangan itu atau menang si Luncai’.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails