Sunday, October 3, 2010

DAP cabar wakil rakyat UMNO pulangkan elaun jika persoal wang ihsan

KUALA LUMPUR, 3 Okt — DAP pusat mencabar agar kesemua wakil rakyat Umno, di seluruh negara, dengan segera memulangkan elaun mereka terima kepada Perbendaharaan ekoran pendirian pihaknya mempertikaikan sumber dana wang ihsan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dalam membuat gesaan ini hari ini berkata, kontroversi terbaru dicetuskan pemimpin-pemimpin politik Umno sejak kebelakangan ini menunjukkan sikap hipokrit dalam usaha mereka mahu kekal berkuasa.

Pua berkata, memandangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng sudah pun menafikan dana hasil aktiviti judi tidak pernah disalurkan kepada masyarakat Islam, tindakan pemimpin-pemimpin Umno terus-menerus mempertikaikan isu itu menunjukkan mereka asyik berbohong demi kepentingan politik.

“Yang kedua dan lebih penting, usaha mereka untuk membezakan antara pulangan halal dan bukan hala bagi Pulau Pinang, menggambarkan sikap hipokrasi memandangkan kerajaan persekutuan yang diketuai oleh Umno, yang Menteri Kewangan juga adalah Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak adalah parti yang bertanggungjawab bagi menghalalkan perjudian di negara ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.


Selain itu, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, kalau tidak kerana Pakatan Rakyat, pentadbiran Najib belum tentu akan menarik balik lesen perjudian sukan yang diberikan kepada Tan Sri Vincent Tan.

Pua menambah, Najib selaku Menteri Kewangan telah menjawab soalan Ahli Parlimen DAP dari Rasah Anthony Loke pada 9 Jun lalu bahawa kerajaan tidak membezakan antar cukai yang diterima daripada pelbagai sumber sama ada yang halal ataupun bukan halal.

Pua memetik jawapan yang diberikan Najib iaitu “untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada kerajaan... bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam

Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara.”

“Ini menunjukkan kesemua cukai yang dikutip dimasukkan ke dalam satu dana Akaun Wang Disatukan,” katanya.

Dalam kenyataan balas disiarkan The Malaysian Insider semalam, sambil menafikan Umno Pulau Pinang bersandiwara, setiausahanya menyifatkan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat negeri itu sebagai “bodoh tidak bertempat” apabila mencabar kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri Umno memulangkan gaji dan elaun wakil rakyat kerana terus-menerus mempertikaikan ‘kesucian’ wang ihsan.

Datuk Azhar Ibrahim juga mendakwa pihaknya tidak pernah mendesak warga emas di Pulau Pinang agar memulangkan wang ihsan RM100 yang diterima mereka ekoran dakwaan Umno bahawa dananya bersumberkan hasil judi.

ADUN Penaga itu juga berkata, pihaknya tidak pernah mendesak warga emas di negeri itu untuk memulangkan semula wang ihsan tersebut.

Khamis lalu, Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencabar kesemua 11 ADUN Umno negeri itu agar memulangkan gaji dan elaun wakil rakyat mereka jika serius mahu menyelamatkan umat Islam daripada menerima wang ihsan yang mereka dakwa sebagai dana bersumberkan hasil judi.

Cabaran itu dibuat rentetan kenyataan Azhar minggu lalu bahawa 40 warga emas dalam kawasan beliau telah memulangkan wang ihsan RM100 seorang kepada warga emas.

Lim pada 25 September turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah dan pembohongan yang cuba ditimbulkan oleh Umno di Pulau Pinang.

Sehubungan itu tegas beliau, mengambil kira hujah diberikan Menteri Kewangan yang juga ketua Umno, memandangkan pemimpin-pemimpin Umno terus mempertikaikan isu semasa wang ihsan, maka kesemua wakil rakyat parti itu wajar memulangkan elaun sebagai Ahli Parlimen dan ADUN kerana sumber hasil negara lebih meragukan berbanding yang diperoleh di Pulau Pinang.

“Adalah jelas, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (Azahar) tidak boleh mengatakan perbezaan apabila memaklumkan bahawa ADUN Umno tidak perlu memulangkan elaun mereka atas alasan pendapatan kerajaan negeri adalah daripada hasil cukai,” katanya.

Justeru Pua menambah, Setiausaha Umno Pulau Pinang itu kelihatan jahil fakta, sama ada sengaja ataupun sebaliknya, bahawa cukai-cukai dibayar kepada kerajaan persekutuan diagihkan kepada wakil kerajaan negeri dalam bentuk geran dan pinjaman.

Pua berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin-pemimpin Umno berkenaan yang mencetuskan isu agama untuk menimbulkan kebimbangan di kalangan umat Islam bagi tujuan kepentingan politik hanya menggambarkan mereka “bodoh dan kurang bijak.”

Katanya lagi, semua pihak sedia maklum bahawa Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN), yang memerintah kerajaan persekutuan, meluluskan lesen aktiviti perjudian di negara ini.

“Kerajaan persekutuan Umno yang menggunakan hasil cukai tidak kira sumber untuk membiayai perbelanjaan kerajaan termasuk elaun wakil-wakil rakyat dan gaji menteri dan kakitangan awam,” katanya lagi.

Pua juga menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno terbabit bukan sahaja memulangkan semula elaun mereka kepada kerajaan, tetapi juga harus mendesak projek infrastruktur pada masa-masa depan seperti lebuh raya yang dibina oleh kerajaan persekutuan harus terdiri daripada laluan berasingan untuk Muslim dan bukan Muslim berdasarkan bahagian hasil yang diperoleh.

Kata Pua lagi, rakyat Malaysia yang berfikiran waras harus menolak pandangan tidak masuk akal seperti ini, yang dibawa pemimpin-pemimpin Umno, demi memastikan Malaysia tidak terus menjadi negara yang berpecah belah.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails