Friday, October 8, 2010

Cerita si Rahimi versi Latheefa Koya


Masih banyak yang belum diketahui tentang akuan bersumpah Rahimi Osman yang 'penting' itu, antaranya ia didakwa hanya setebal dua hingga tiga halaman sahaja.

Setelah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tampil mendakwa dipaksa menandatanganinya oleh dua peguam - Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli – kelmarin, lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang timbul.


Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Latheefa yang juga ketua penerangan PKR menceritakan semula apa yang beliau tahu tentang proses merangka akuan tersebut daripada mula hingga akhir.

Berikut apa yang terjadi bermula pada 28 Jun 2008, seperti yang diceritakan semula oleh Lahteefa:

Pada 28 Jun 2008, PKR mengadakan seminar kepimpinan di Hotel Quality Shah Alam, melibatkan hampir semua pemimpin dan wakil rakyatnya.

Laporan polis Saiful Bukhari

Sehari selepas itu, ketua kakitangan pejabat Anwar, Ibrahim Yaakob mendengar desas-desus khabar bahawa terdapat Mohd Saiful Bukhari Azlan akan membuat laporan polis terhadap bekas bosnya. Maka Rahimi dipanggil untuk mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, dia tidak dapat dihubungi buat masa itu dan hanya hadir lewat malam itu. Di hotel berkenaan ketika itu ramai penyokong dan petugas media mula berkumpul kerana khabar angin Anwar akan ditahan semula seperti di zaman reformasi sepuluh tahun sebelum itu.

Ramai 'pengawal peribadi' dan anggota parti menempah tinggal di hotel berkenaan. Anwar pula bersetuju 'bersembunyi' seketika di kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Rahimi tiba pada malam 28 Jun itu dengan gementar dan ketakutan. Beliau menceritakan semula apa yang beliau dengar daripada Saiful Bukhari.

Rahimi juga minta tinggal di hotel itu kerana takut dicari polis berikutan kemungkinan namanya turut disebut dalam laporan polis Saiful Bukhari. Pasukan peguam itu bersetuju memberikan perlindungan kepada Rahimi.

Rahimi kelihatan kembali tenang semula setelah beberapa hari Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar.

Bukan di bilik hotel

Beberapa pemimpin PKR yang kebetulan bertugas sebagai peguam ditugaskan menemuramah Rahimi bagi mendapatkan gambaran besar apakah sebenarnya yang berlaku ketika itu.

Selain Latheefa dan Saiful Izman, R Sivarasa turut terlibat.

Proses mendengar penjelasan Rahimi tidak dilakukan dalam bilik hotel, tetapi sebuah lounge peribadi di hotel tersebut. Bagaimanapun, semua draf akuan bersumpah dibuat dan drangka di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Akun bersumpah pertama dibuat secara tidak terperinci kerana mungkin Rahimi tidak bersedia memberitahu banyak perkara, terutamanya pembabitan Mumtaz Jaafar yang juga ibu kepada seorang kenalan sekolahnya.

Tiada pengurungan, Rahimi bebas keluar dan masuk. Malah beliau ada keluar daripada hotel beberapa kali, termasuk bagi menonton perlawanan bola sepak dengan beberapa 'pengawal peribadi'.

Selepas Rahimi dipanggil memberikan kenyataan kepada polis. Dia memberitahu tidak ditanya banyak soalan tetapi diberitahu ada kemungkinan dipanggil semula.

Tidak dapat dihubungi

Kemudian, selepas dipanggil kali kedua, Rahimi memberitahu bahawa dia ditanya sama ada pernah berjumpa dengan Rosmah dan Mumtaz.

Selepas dinasihatkan oleh peguam peribadinya ketika itu Stanley Sinnapan supaya bercakap benar, beliau menceritakan apa yang beliau tahu. Semua ceritanya tiada percanggahan dengan akuan bersumpah yang pertama.

Setiap perjumpaan dengan Rahimi tidak semata-mata berbincang soal akuan bersumpah tetapi bagi membantu pasukan pembelaan Anwar mengumpulkan maklumat.

Rahimi kemudian masuk dan keluar pejabat Anwar seperti biasa dan diberikan beberapa tugas kecil kerana dia tidak lagi bekerja secara rasmi. Dia juga terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh di mana Anwar bertanding.

Tetapi bila perbicaraan hampir bermula, apabila ketua pasukan pembelaan ditukar kepada Karpal Singh, Rahimi tidak dapat dihubungi. Dia tidak menjawap panggilan telefon dan SMS.

Kali terakhir Latheefa dan pemimpin PKR berhubung dengan Rahimi menjelang perkahwinan Rahimi hujung tahun lalu.

Selain Rahimi, terdapat beberapa orang yang berpotensi jadi saksi turut diminta membantu memberikan maklumat.

Tentang akuan bersumpah Rahimi

Akuan bersumpah itu tidak tebal. Ia hanya dua atau tiga halaman sahaja. Sebelum ditandatangan, Rahimi diminta menyemak semula drafnya beberapa kali supaya apa yang dia rasa tidak selesa boleh dibuang.

Ia ditandangan di depan pesuruhjaya sumpah di Petaling Jaya State, bukan Petaling Jaya Old Town seperti yang dinyatakan dalam laporan polis Rahimi kelmarin.

Dia tidak diberikan salinan dokumen itu “sebab tidak memintanya”. Kemungkinan sekarang Rahimi sendiri sudah lupa apa yang terkandung dalam akuan bersumpahnya.

Akuan bersumpan itu mengandungi dua bahagian, bahagian pertama tentang bagaimana dia mengenali Mohd Saiful dan pengalaman mereka bersekolah dan bekerja bersama.

Manakala bahagian kedua menceritakan tentang pertemuan Mohd Saiful Bukhari dengan Najib dan Rosmah.

(Latheefa tidak dapat ingat sepenuhnya kandungan akuan bersumpah itu kerana dokumen itu didakwa telah hilang daripada simpanannya).


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails