Monday, October 4, 2010

Biarkan UMNO terjun dengan labu-labunya

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 3 Okt: "Biarkan Umno terjun dengan labu-labunya," itulah reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap serangan Umno yang kian serabut dengan wang pemberian warga emas RM100 dan wang pengurusan jenazah warga emas sebanyak RM1,000.

Ujarnya, jika ada warga emas yang mahu memulangkan pemberian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, mereka boleh berbuat demikian dengan mengutus surat mengatakan mereka tidak mahu menerima terus pemberian yang diperuntukkan kepada mereka setiap tahun.

“Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak manasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas,” katanya.


Namun begitu, ujarnya kerajaan negeri tidak hairan dengan desakan Umno Kepala Batas dan yang terbaru di Bayan Baru kononnya mereka bersama dengan penduduk miskin menentang usaha murni kerajaan negeri berjiwa rakyat yang berusaha meningkatkan martabat bangsa, agama dan sosioekonomi menerusi penjimatan yang dilakukan.

"Sebelum ini Umno tidak pernah berikan sesen pun wang kerajaan kepada rakyat miskin yang mereka tahu golongan miskin diperkotakkatikan semasa pilihan raya tidak kira kecil ataupun umum," tambahnya ketika ditemui selepas meraikan sambutan Aidil Fitri PAS Kawasan Kepala Batas di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam petang tadi.

Katanya, Umno nampak serius melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri kononnya pemberian wang warga emas dan pengurusan jenazah daripada hasil judi sedangkan pemimpin mereka sendiri bergelumang dengan hasil judi.

Malahan, kata beliau ada antaranya terlibat menjadi jawatankuasa organisasi berhubung dengan perjudian.

“Jika macam itu bagaimana pendapatan mereka untuk diberi makan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus sendiri telah menjelaskan sebelum ini bahawa wang sumbangan syarikat judi lumba kuda diasingkan untuk masyarakat bukan Islam dalam Rakan Anti Kemiskinan (RAK) bukan wang warga emas atau pengurusan jenazah.

"Saya pun tahu judi haram untuk orang Islam, maka kita asingkan tabungan itu, wang RM100 dan RM1,000 itu diambil dari wang penjimatan kerajaan," jelasnya.

Apa pun, tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Putih, tekanan yang dibuat oleh Umno BN itu membuatkan semua jentera kerajaan dan parti melaksanakan kerja dengan lebih efisyen.

Bukan sahaja jentera, ujarnya bahkan semua Exco dan kepimpinan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat bertungkus lumus merangka program untuk memperjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat.


Harakah Daily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails