Tuesday, October 19, 2010

Bebas Wahid memalukan pejabat Peguam Negara

Oleh Haspaizi Mohd Zain

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menyifatkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don daripada pertuduhan rasuah, Jumaat lalu, sesuatu yang boleh memalukan pejabat Peguam Negara sebagai pendakwa raya.

Berikutan itu, ahli Exconya yang juga anggota Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi mengenal pasti punca kekalahan banyak kes membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dalam kes berkenaan, Wahid dituduh menerima suapan sebanyak RM60,000 bagi mempercepatkan kelulusan visa kepada pekerja asing.

“Oleh itu, Peguam Negara perlu memberi penjelasan terhadap kegagalan pihaknya supaya rakyat tidak terkeliru dan kita juga berharap Peguam Negara memandang serius perkara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.


Phang juga melahirkan kebimbangan kerana sejak kebelakangan ini banyak kes yang dikendalikan pejabat Peguam Negara kalah di mahkamah dan ia boleh memberi imej negatif terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, kegagalan pendakwaan turut mengundang keresahan di kalangan rakyat, selain mengakibatkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap badan kehakiman negara.
Katanya, kekalahan kes rasuah dan salah guna kuasa juga akan menyebabkan tanggapan negatif dilemparkan terhadap SPRM sebagai badan penyiasat.

“Rakyat hendak tahu sama ada Peguam Negara sudah melakukan siasatan menyeluruh dengan memastikan segala bukti lengkap dikumpul dan diletakkan di hadapan sebelum dibawa ke mahkamah.

“Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang dipertanggungjawabkan bagi tujuan itu mencari jalan penyelesaian segera bagi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, SPRM memfailkan rayuan terhadap pembebasan Wahid, semalam.

Ketua Pendakwa SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi BERNAMA, mengesahkan rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, pagi semalam.

Wahid, 57, dilepas dan dibebaskan tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian bagi mempercepatkan kelulusan 4,337 visa untuk pekerja Bangladesh pada 10 Julai 2008.

Dalam satu kenyataan akhbar segera selepas keputusan mahkamah itu, SPRM berkata ada ‘alasan kukuh’ bagi suruhanjaya itu mengemukakan rayuan.


Berita Harian Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails