Wednesday, October 27, 2010

179 korban Tsunami, Gunung berapi Indonesia meletup



Pihak berkuasa Indonesia merayu bantuan selepas tsunami melanda sebuah kepulauan, diikuti pula dengan letupan gunung berapi, mengakibatkan ramai yang terkorban dan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

Keseluruhan kampung tenggelam dan rumah-rumah di kawasan berhampiran pantai barat Sumatera, musnah dilanda gelombang besar selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.7 di sekala richter.

Sekurang-kurangnya 154 orang terkorban manakala kira-kira 400 lagi masih hilang, kata para pegawai.


"Mereka kehilangan rumah masing-masing dan sekarang memerlukan banyak bantuan. Khemah tiba hari ini, tetapi kita masih perlukan banyak lagi," kata ketua pengurusan bencara daerah Sumatera Barat, Harmensyah.

"Kita perlu mencari orang yang hilang secepat mungkin. Sebahagian daripada mereka mungkin telah menyelamatkan diri di kawasan pergunungan. Tetapi mungkin ramai juga yang telah dihanyutkan."

Beberapa ratus kilometer jauhnya di Jawa tengah, 25 orang terkorban apabila gunung berapi yang paling aktif di republik itu - Gunung Merapi - meletup semalam, dan memuntahkan lava dan gas.

Para pegawai berkata hampir 29,000 orang menyelamatkan diri dengan berlindung di sekitar bandaraya Yogyakarta, tetapi ada kebimbangan mengenai nasib ribuan lagi penduduk yang enggan meninggal kampung mereka.

Gempa bumi yang melanda Isnin lalu di kepulauan Mentawai - sebuah kawasan yang popular dengan aktiviti peluncuran, mencetuskan tsunami setinggi tiga meter (10 kaki) dan memusnahkan 10 buah kampung.

Sementara itu ombak tsunami melonjak sejauh 600 meter ke daratan kepulauan Pagai Selatan, kata para pegawai. Di pulau Pagai Utara, sebuah pusat peranginan dan hampir 200 rumah musnah.

Kakitangan perubatan dikejarkan dengan helikopter tetapi usaha menyelamat terjejas oleh masalah komunikasi di kepulauan terbabit, yang memakan masa satu hari menaiki feri untuk sampai dari pelabuhan di Padang di wilayah Sumatera Barat.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memendekkan tempoh lawatan ke Vietnam untuk menghadiri sidang kemuncak pemimpin negara-negara Asean dan perjalanan ke Mentawai. Menurut para pegawai, beliau dijangka tiba pada hari Khamis. - AFP

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails