Monday, September 20, 2010

Zaid ikrar bela, kembalikan kuasa Azizah



Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau akan membela kuasa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden PKR, sekiranya beliau berjaya dipilih sebagai timbalan presiden dalam dalam pemilihan parti itu nanti.

Ikrar tersebut disuarakan Zaid dalam blognya hari ini berikutan timbulnya tanggapan bahawa kedudukan Dr Wan Azizah sebagai presiden parti itu, hanyalah sebagai satu lambang semata-mata.

"Terlalu kerap saya dengar bisikan mengenai kononnya Datin Seri Wan Azizah bukan ketua sebenar.


"Malah ada pula yang berkata beliau tidak ada kuasa. Keadaan ini berlaku kerana ada di kalangan kepimpinan parti yang kurang menghormati jawatan presiden.

"Kepimpinan parti lebih selesa memberi kepercayaan sepenuhnya kepada ketua umum, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya sambil menegaskan beliau menyokong dan memberi kepercayaan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengasas parti dan juga sebagai ketua pembangkang.

"Saya juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Anwar kerana dia pengasas parti dan juga ketua pembangkang tetapi dari segi struktur parti buat masa ini beliau hanya ahli biasa," tambah Zaid.

Wan Azizah kini merupakan calon popular untuk mengekalkan jawatan berkenaan. Walaupun Anwar turut layak, beliau bagaimanapun terus enggan bertanding jawatan itu.

"Kalau saya menang, saya akan bela kuasa presiden. Presiden parti tidak akan dianggap sebagai lambang semata-mata.

"Kalau kita dari parti PKR tidak hormati jawatan presiden kita yang sah kerana kita berpuas hati presiden itu hanyalah lambang (walaupun dia berkuasa penuh mengikut perlembagaan parti); apa jaminan kita akan menghormati Perlembagaan Negara bila kita berkuasa nanti?" soalnya.

Beliau menjelaskan, fungsi yang akan dimainkannya sebagai timbalan presiden termasuk "taat setia kepada presiden dan menolong beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya."

"Timbalan presiden mesti mengimbangi atau melengkapkan kekuatan presiden. Hanya dengan cara itu prestasi dan imej parti kita akan jadi lebih baik," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Wan Azizah bukan sahaja sanggup berkorban demi keperluan parti, malah untuk kepentingan Anwar, termasuk meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh.

"Sebagai ahli PKR, saya percaya dengan kepemimpinan dan kebolehan presiden parti dan sebagai calon untuk jawatan timbalan presiden saya ingin menyokong beliau," katanya.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails