Wednesday, September 8, 2010

UMNO takut kerana saya banyak bantu Melayu, Islam- Guan Eng

Kenapa Umno marah sangat kepada saya? Saya tahu kerana 'judi bola', Pulau Pinang negeri pertama haramkan judi bola, sebab itu banyak negeri ikut termasuk Johor dan sebagainya.

Mohd Rashidi Hasan

LIM Guan Eng sering menjadi sasaran media arus perdana. Ada sahaja yang tidak kena pada pentadbirannya. Beliau dituduh anti Melayu dan anti Islam oleh media talibarut Umno.

Di sebalik asakan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, tetap tenang. Namun beliau tidak dapat menyembunyikan kegusarannya, kalau-kalau serangan media talibarut Umno-BN menjangkau sehingga kepada serangan fizikal.

Ikuti luahan hati beliau dalam wawancara wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan KHAIRUL HARTIMI bersama Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut di Terminal Tambang Murah (LCCT) pada 2 September lalu membincangkan isu-isu semasa.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

HARAKAH: Apa pandangan saudara mengenai Umno, yang sejak akhir-akhir ini semakin hebat memberikan tekanan terhadap Pakatan Rakyat, khususnya saudara selaku Ketua Menteri Pulau Pinang? (Bold)

LIM GUAN ENG: Pada saya, yang paling ketara ialah kajian Merdeka Centre di mana, di kalangan Melayu, hanya 44 peratus menyokong Umno dan selebihnya menentang Umno, kajian itu memperlihatkan Umno ini, lagi lama lagi teruk.

Mereka hanya memainkan isu perkauman sahaja, rasuah di kalangan mereka semakin tinggi. Mereka tidak boleh kikis imej rasuah, rakyat lagi lama lagi jemu, mereka (Umno) pun tahu hakikat ini.

Jadi Umno harus buang imej rasuah?

Ya. Kalau mereka tidak buang rasuah mereka akan mati, tetapi kalau kitapun tidak buang rasuah kita pun mati juga.

Mutakhir ini mereka serang peribadi, mainkan isu agama dan perkauman?

Sekarang ini bertubi-tubi mereka menghentam kita. Mereka hentam keromo sahaja isu-isu perkauman dan agama.

Itu menunjukkan keterdesakan dan mereka sudah bercelaru tidak ada isu mereka nak mainkan.

Saya rasa mereka (Umno) ini sudah hilang akal dan guna cara Firaun sahaja.

Sekarang ini apabila mereka sudah tidak boleh beli keyakinan rakyat, mereka guna fitnah sahaja dan gunakan kuasa rakus mereka melalui media yang menjadi talibarut mereka.

Bagaimana kesannya?

Kesannya ada kita akui, tetapi kesannya ialah di kalangan ahlinya (Umno). Serangan terhadap kita, hanya akan meningkatkan perasaan dan akan ada yang terbawa-bawa dengan sentimen perkauman yang mereka bawakan.

Tetapi kita juga kena waspada dengan api perkauman ini kerana mereka sentiasa berusaha, mereka guna sekarang dan kita kena hadapi menjelang pilihan raya.

Kita tidak mahu kita terus tidur lena tetapi kena hadapi serangan terakhir ini yang berbentuk perkauman sempit, serangan maut.

Dia (Umno-BN) mahu kita maut tetapi jika kita tidak maut mereka yang maut, tiada jalan yang senang sama ada hidup atau mati.....(ketawa).

Adakah saudara jangka serangan ini akan berterusan?

Ya. Mereka akan buat sampai saat-saat terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Ini kita harus hadapinya juga.

Terbaru mereka palsukan gambar, kononnya saya menyembelih korban. Gambar Nizar mereka ubah, letak gambar saya. Mereka sengaja buat provokasi.

Dalam isu masjid ini pula (membabitkan Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching) sengaja mereka mainkan dengan naikkan gambar Teo Nie Ching yang masuk ke surau, sedangkan Teo ini datang atas jemputan AJK Surau al- Huda.

Kalau dia (Teo) tolak lagi akan jadi orang pandang dia tak senonoh, soal boleh atau tidak dia duduk dalam surau atau masjid ini saya tak mahu campurlah. Biarlah ulama yang berikan penjelasan. Tetapi untuk meredakan kemelut ini beliau telah mohon ampun kepada Sultan.

Jadi janganlah perbesarkan isu ini, tetapi mereka (Umno) tidak mahu lepaskan isu ini, walaupun Teo telah memohon maaf. Tengok ini adalah politik. Kita mohon maaf kepada Sultan, dan kita mahu redakan perkara ini kerana ini bulan Ramadan yang suci, tetapi mereka (Umno) gunakan isu ini untuk dijaja seluruh negara bagi memburukkan kami (DAP) dan PAS.

Ini agenda politik mereka, ini satu cabaran hebat. Apa pun saya rasa gembira dan syukur kerana hubungan erat antara Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sangat kuat.

Baik PAS, baik DAP, kita sama-sama hadapinya, kita yakin rakyat pun tidak percayakan lagi dakyah mereka ini (Umno).

Tetapi saya rasa kita kena kerja kuat dan buat pelbagai program.

Apa program yang dibuat untuk menangkis serangan ini?

Dua minggu lepas dan esok, kita bagi penerangan kepada masjid-masjid, setiap kali kita pergi, kita bagi penerangan apa sebenarnya yang berlaku.

Kita hendak jelaskan semula kepada rakyat isu ini, kita tidak ada ruang sebab bila kita hendak jelaskan Utusan Malaysia tidak bagi ruang, hanya Harakah sahaja yang berikan ruang.

Tetapi Harakah pula diasak oleh kerajaan.

Mengapa Umno kelihatan konsisten membuat serangan?

Saya rasa serangan yang dibuat Umno menunjukkan mereka tidak ada akal, tidak ada isu dan tidak ada idea lagi.

Hanya kerana mereka mahukan pilihan raya nanti mereka ada kekuatan dengan sokongan kuasa dan media.

Mungkin pilihan raya umum akan diadakan lepas Mac depan (2011) saya rasa mungkin mereka buat persiapan, tetapi dengan cara ini ia boleh menjatuhkan Umno juga.

Saya rasa mereka benar-benar tertekan, mereka juga marah sangat sebab PAS dan DAP bekerjasama sangat erat.

Saya rasa kerjasama DAP-PAS sangat kuat bukan sahaja di peringkat atas tetapi lagi kuat di peringkat tengah dan bawah.

Sebab itulah mereka (Umno) merasa tertekan dengan situasi ini dan mereka rasa marah, mereka mahu pecahkan kita, mereka tarik PAS dengan cara perpaduan tetapi tidak berjaya, akhirnya mereka laga-lagakan PAS dan DAP dengan satu isu (Hudud) yang sudah selesai sebenarnya dahulu.

Mereka tidak berjaya buat, isu kalimah Allah mereka mainkan tidak jalan, isu judi sukan mereka jalankan tidak berjaya juga, sebab itulah mereka marah sangat kepada PAS dan DAP ini dan dia marah sangat kepada saya.

Pada pandangan saudara, mengapa Umno begitu marah pada saudara?

Kenapa Umno marah sangat kepada saya? Saya tahu kerana 'judi bola', Pulau Pinang negeri pertama haramnkan judi bola, sebab itu banyak negeri ikut termasuk Johor dan sebagainya.

Bila kita jadi peneraju kepada mengharamkan judi ini, mereka banyak rugi, ini mereka boleh buat untuk 'election fund' (dana pilihan raya), dalam jawapan Rais Yatim (Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan), mereka (Umno) kena luluskan judi bola kerana untuk orang Cina.

Ini mereka cerita kepada orang kampung, benda ini 'makan tau' (berjaya menghasut) kerana orang kampung. Mereka ini kurang bercampur dengan orang Cina mereka ingatkan orang Cina ini berjudi sebagai budaya.

Kononnya mereka mahu tanamkan pemikiran bahawa judi ini budaya masyarakat Cina. Jadi selepas saya umumkan mengharamkan judi bola di Pulau Pinang mereka punya modal habis..takkan dia nak cerita kepada orang kampung itu Guan Eng bukan orang Cina....(ketawa).

Takkan mereka (Umno) nak ceritakan soal saya haramkan judi kerana saya ini Cina yang jahat...takkan mereka nak ceritakan begitu kepada orang Melayu di kampung? Ini siapapun tak akan terima.

Saya dan kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi pelopor negeri yang pertama haramkan judi bola, sampai Johor pun terikut-ikut. Jadi macam mana pun yang luluskan judi bola Umno dan mereka juga nak nampak kononnya wira rakyat mereka pula tarik semula. Ini semua sudah terbalik.
Umno ini lain-lain perkara mereka tidak marah tetapi jika kita potong duit melalui judi mereka mereka akan marah sebab ini talian hayat mereka.

Mungkin Umno hilang modal lawan Pakatan Rakyat?

Sebab itu mereka kini gunakan apa sahaja isu untuk mengenakan kita (Pakatan Rakyat). Mereka juga mainkan isu Bazaar Ramadan di Komtar. Isu ini masih dimainkan lagi.

Kita dibayangkan kononnya kita ambil tindakan kepada peniaga, sedangkan penganjur yang bermasalah. Mereka sengaja mainkan isu perkauman, kononnya nak kata kita haramkan Bazaar Ramadan.

Mereka sengaja mainkan isu ini, kononnya nak bayangkan kita usik orang Melayu, sedangkan sejak kita memerintah satu orangpun orang Melayu atau bukan Melayu kita usik, sebaliknya kita membantu rakyat.

Kita harap boleh dapat satu penyelesaian yang baiklah. Bila mereka (Umno) usik orang semasa Barisan Nasional melalui Gerakan usik orang Melayu ini mereka diamkan, sengaja mereka tidak mahu dedahkan.

Umno-BN gambarkan saudara dan Nizar sebelum ini anti Melayu dan Islam?

Kita di Pulau Pinang, sebelum ini telah menggandakan bantuan bagi hal ehwal Islam pada tahun 2008 sejumlah RM 20.5 juta tahun ini RM 24.3 juta, dan kita bagi kepada hal ehwal Islam dan bantuan kepada NGO Islam ini macama mana? Mereka tidak nampakkah ini?

Sekolah Agama Rakyat, siapa yang potong bantuan SAR ini? Umno....siapa yang menghidupkan semula dan memberi bantuan, ialah kita Pakatan Rakyat, sampaikan kita buat satu makmal sains di Madrasah al-Aminiyah, ini madrasah utama di Pulau Pinang.

Mereka juga cerita kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bagi kontrak kepada kontraktor kelas F yang kebanyakannya bumiputera.

Orang Umno yang tidak dapat kontrak sudah tentu mereka tak dapat kerana Umno yang tidak dapat. Cakap ini tidak betul. Kerajaan Pusat tidak berikan wang, kita terpaksa cari wang untuk membangunkan infrastruktur dan sebagainya. Ini kita kena tunggu sedikit kerana bantuan dari Kerajaan Pusat tiada.

Rumah kos rendah bukan murah, rumah pangsa kosnya dari RM80 juta ke RM100 juta, ini bukan senang mahu cari wang. Tetapi kita buat juga, cuma kita cari masa sedikit kerana kita tiada wang, bukan kita tidak mahu buat.

Sasaran masa depan DAP dan Pakatan Rakyat?

Bila saya lihat di Pulau Pinang saya rasa tidak ada masalah, tetapi negeri lain saya tidak tahulah ini secara amnya kita sekarang ini kuat.

Saya rasa PAS yakin dengan DAP ini kerana kita yakin tidak akan belot, kita telah berjuang begitu lama, apa perbezaannya kita semua tahu tetapi yang pasti Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Tok Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat) tahu siapa Lim Kit Siang (Penasihat DAP).

Lawan BN dan lawan sampai habis, lawan tetap lawan itulah yang mereka (Umno) cuba remehkan, tetapi dua tiga tahun ini hubungan kita dari bawah sampai atas semuanya erat.

Saya rasa kita ini sangat rapat, bila Teo kena hentam, semua datang beri sokongan kepada Teo, ini satu hubungan yang sangat baik. Umno sengaja mereka cipta cerita sahaja. Jadi saya rasa ini yang membuatkan mereka tertekan.

Saya rasa jika PAS renggang dengan DAP, Umno pun tidak berminat dengan PAS, mereka ini sengaja mahu jauhkan hubungan akrab kita( PAS-DAP) sekarang ini mereka gunakan isu perkauman untuk belasah kita, lagi kuat mereka buat lagi teruk mereka akan dipandang rakyat.

Tentu ada yang terkesan tetapi sedikit sangatlah. Saya rasa terasnya ialah kerjasama kita sangat kuat. Mereka pukulpun tidak akan berjaya.

Sila sambung bacaan anda di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails