Saturday, September 4, 2010

Saya masih Teo, kontroversi surau ada hikmahnya

Oleh G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra
September 04, 2010

PETALING JAYA, 4 Sept — Kontroversi surau yang tercetus dua minggu lalu ada hikmah tersendiri kepada semua pihak selain membuka kepada debat baru mengenai aspek bukan Islam memasuki kawasan masjid dan surau, kata Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching semalam.

Sebalik isu itu, kata wakil rakyat penggal pertama ini, beliau masih kekal sebagai “Teo yang beragama Kristian” meskipun ada yang bimbang manakala sesetengah peminatnya pula mengajak beliau memeluk Islam.

Pun begitu tegas beliau, apa yang penting ialah seseorang itu perlu memegang pada kepercayaan masing-masing, yang tidak akan menggugat agama yang mereka percayai.

“Apabila saya ke surau, ada yang bertanya saya, ‘bila nak jadi masuk Islam?’ Saya hanya senyum,” kata Teo kepada The Malaysian Insider.

Malah kata Teo, beberapa rakannya juga melahirkan kebimbangan bahawa beliau mungkin akan ditekan atau dikenakan ilmu hitam agar memeluk Islam.

Dengan siri senyuman dan kadangkala ketawa sepanjang sesi temu bual ini, Teo yang juga setiausaha pengelola DAP Selangor memberitahu bahawa pandangan seumpama itu perkara biasa bagi mana-mana pihak meminta orang lain memeluk agama masing-masing.

Bagaimanapun kata Teo, sebagai wakil rakyat muda beliau tidak merasakan tekanan dengan perkembangan sedemikian buat masa sekarang.

“Kita kena berfikiran terbuka,” katanya. “Anda kena yakin dengan kepercayaan anda. (Saya yang beragama Kristian), jika percaya pada Nabi Isa, mengapa takut akan ditundukkan oleh ilmu hitam,” tambah Teo.

“Saya pun pergi ke kuil Hindu, adakah saya akan dipaksa masuk agama Hindu, tidak... kita, kena ada kekuatan pada kepercayaan, jika kuat iman, kita tak perlu bimbang,” kata beliau yang panjang lebar menjelaskan detik-detik yang dilaluinya sejak lebih seminggu lalu.

Beliau menjawab kesemua soalan yang diajukan dengan tenang - daripada isu semasa, tekanan politik, masa depan politik dan perkembangan politik semasa.

Teo memang akui pengetahuan beliau adalah begitu sempit tentang Islam sebelum menjadi wakil rakyat dua tahun lalu.

Bagaimanapun merasakan insiden yang berlaku ini memberikannya peluang untuk lebih memahami Islam.

“Dari sini, saya rasa Islam sebenarnya adalah lebih terbuka macam Tok Guru (Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz) berkata dan saya setuju dengan beliau apabila kata Umno selama ini telah gunakan isu agama sehingga orang bukan Islam takut kepada Islam, malah orang Islam sendiri juga, pandangan mereka tentang Islam juga kurang tepat.

“Ini tidak baik untuk Islam sendiri kerana apabila orang bukan Islam tengok Islam mereka juga rasa takut. “Tok Guru cakap untuk menjadikan masjid lebih inklusif, semua orang patut dibenarkan masuk bagi mengurangkan masalah perkauman,” kata beliau yang mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di ibu negara pada Isnin lalu.

Teo yang berusia 29 tahun juga berkata, “sehingga hari ini saya boleh cakap, apabila saya pakai selendang ada golongan kecil rasa tidak gembira kerana mereka berpandangan bahawa saya telah menjejaskan maruah orang Cina.” “Bagi saya, jika saya pakai pakaian kaum India adakah ia akan jadi masalah? Adakah ia merendahkan maruah orang Cina?” katanya lagi. Oleh itu kata beliau, “ini bukan isu.” “Jika saya pakai pakaian Jepun adakah ia juga satu isu?” soal Teo.

Justeru soal beliau, mengapa ia menjadi isu apabila memakai pakaian orang Melayu.

“Skarf bukan ekslusif untuk orang Islam sahaja tetapi untuk semua... kenapa perlu persoalkan yang (kononnya) saya merendahkan diri sendiri dan juga bangsa saya?

“Saya rasa ini hanya persepsi kerana salah faham, jadi kita perlu lebih terbuka untuk atasi perkara ini,” katanya.

Teo juga menganggap isu kontroversi semasa ini sebagai satu rahmat kepada dirinya dan juga kepada negara, malah ia boleh jadi satu pendebatan baik sama ada orang bukan Islam dibenarkan masuk ke masjid dan surau.

“Setiap orang cakap perkara yang berlainan, ada yang kata boleh masuk dan ada kata yang tidak boleh. Jadi, ia menjadi persoalan adakah orang bukan Islam dibenarkan masuk ke masjid, surau.

“Masyarakat Cina juga ada pemikiran yang sama, pakai baju kurung apa salahnya? Bagi bantuan kepada masjid dan surau apa salahnya?

“Bagi saya pendebatan ini akan beri kesan positif kepada negara,” kata Teo sambil mengatakan bahawa beliau kini lebih memahami Islam kerana selepas insiden

“Nik Aziz juga ada memberi panduan kepada saya, kawan-kawan dari PAS dan PKR juga ada juga bagi panduan.” “Mereka cakap begitu supaya saya lebih jelas tentang Islam, malah saya juga ada terima emel kata Islam adalah agama yang amalkan toleransi,” katanya yang percaya bahawa semua agama mengamalkan toleransi.

“Islam juga sebuah agama yang bertolak ansur dan memaafkan orang lain, cuma Umno dan Perkasa sahaja yang gunakan isu agama ini untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Mengenai hukuman ke atas jawatankuasa pengurusan Surau Al-Huda, Teo berkata, beliau berpendapat bahawa hukuman itu terlalu serius kerana fatwa ada menyebutkan tiada masalah bagi orang bukan Islam memasuki masjis dan surau.

“Saya tidak berapa pasti tentang itu tapi hukuman menggantung pengurusan surau itu adalah begitu keras,” katanya.

Mengenai rujukan “hadas besar” digunakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Teo berkata beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

“Saya sudah menjelaskan, saya sudah berkata bahawa saya membetulkan kesilapan saya, jadi mengapa mengapa nak timbulkan begitu. Saya tidak mahu layan mereka, jadi saya minta kepada mereka supaya jangan buang masa terhadap saya lebih baik mereka jalankan tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing,” katanya.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata amat mengejutkannya kerana Teo mendapat sokongan daripada Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, tampil membuat kenyataan mengelirukan umat Islam.

“Kini, apabila Teo Nie Ching dalam keadaan berhadas besar masuk ke ruang solat di Surau Al-Huda, Nik Abdul Aziz berkata “kita sekarang berada di zaman moden, jangan jadi jahil”, lepas ini apa lagi “bala” nak datang?

“Kenyataan-kenyataan sebegini ternyata hanya membawa kepada keadaan yang mengelirukan sesama kita orang Islam.

“Saya kira dalam perkara yang menyentuh soal pegangan agama, pemimpin parti politik perlu berani menyatakan perkara sebenar dan mengambil tindakan jelas dan nyata serta mengelakkan kenyataan-kenyataan yang boleh terus menerus mengelirukan orang Islam,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Perkasa bahawa bukan Islam mesti dilarang daripada memasuki kawasan masjid dan surau.

Penolong setiaushaa publisiti kebangsaan DAP itu juga beranggapan bahawa pandangan sempit sesetengah pihak daripada Umno dan Perkasa kelihatan bertentangan dengan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berusaha untuk mendekatkan jurang agama yang membawa kepada ketidakharmonian kaum.

Teo merujuk kepada gesaan Najib awal minggu ini agar umat Islam di seluruh dunia supaya sama-sama membantu mengubah tanggapan salah masyarakat bukan Islam terhadap Islam, yang sentiasa mementingkan keamanan dan kestabilan.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini masih lagi ada tanggapan salah masyarakat bukan Islam termasuk di Barat terhadap Islam.

Misalnya, beliau berkata dalam keluaran Time Magazine baru-baru ini, terdapatnya istilah baru Islam fobia.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails