Thursday, September 30, 2010

RM100 : Ada pihak desak warga emas pulang wang ihsan ?

GEORGE TOWN, 30 Sept — Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim (gambar).

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

“Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.


Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Dipetik Bernama, Abdul Malik sekali lagi mengulangi bahawa wang itu bukan daripada hasil judi, sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Kumpulan itu menyerahkan wang berkenaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, semalam.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut selepas diminta oleh warga emas sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas yang mahu memulangkan wang ihsan berkenaan.

“Bukan Umno yang suruh mereka (warga emas) bagi balik duit berkenaan, sebaliknya mereka yang hubungi saya untuk minta pulangkan wang itu kerana tidak sanggup guna wang dari sumber haram,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang.

Azhar juga berkata lebih ramai warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat dan pihaknya akan mengumpulkan semua wang tersebut sebelum menyerahkan kepada Pemuda Umno Pulau Pinang untuk dikembalikan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ihsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar dengan menerimanya adalah bukan Islam, bukan untuk penghargaan warga emas.

Sebelum ini, Abdul Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pemuda Umno bahawa kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat awal bulan ini adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.

“Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.

“Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.

“Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini,” kata beliau.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails