Tuesday, September 28, 2010

Pilihan raya kecil DUN Galas selepas AGM Umno?

Mengambil kira pengalaman-pengalaman lalu SPR kemungkinan akan mengadakan pilihan raya hujung bulan Oktober selepas Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) 2010 yang akan berlangsung minggu ketiga bulan depan. Kira-kira seminggu sebelum itu Parlimen akan bersidang dengan tumpuan ke atas pembentangan Bajet 2011 dan laporan bahagian Model Baru Ekonomi (MBE).

Oleh G Manimaran
September 28, 2010

ANALISIS, 28 Sept — Selepas ‘berehat sementara’ selama empat bulan daripada siri ribut pilihan raya kecil — parti-parti politik nampaknya tiada pilihan kecuali menghadapi satu pilihan raya kecil. Kali ini pilihan raya kecil ke-12 sepanjang pascapilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Dua pilihan raya kecil yang lalu masing-masing kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Sibu pada April dan Mei dimenangi oleh calon MIC-BN dan DAP-PR.


Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (empat kanan) mengimamkan
sembahyang jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Che Hashim
Sulaima, 46, di Masjid Kampung Baru di sini, semalam. - Bernama

Kali ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bakal menyaksikan pilihan raya kecil dan pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan wujud. Yang kedua di Kelantan selepas DUN Manek Urai.


Pilihan raya kecil DUN Manek Urai diadakan Julai 2009 dengan peratusan keluar mengundi paling tinggi dan ia dipertahankan oleh calon PAS. Majoriti undi diperoleh calon PAS 65. BN yang menurunkan calon Umno mengecilkan jurang majoriti berbanding pilihan raya umum 2008.

Bertolak daripada senario itu, Galas juga menjadi tumpuan ramai khususnya ketika kebanyakan pihak mula bercakap-cakap tentang pilihan raya umum tergempar. Jika sebelum ini pilihan raya umum negeri Sarawak dijangkakan akan diadakan bila-bila masa mulai sekarang dan bakal menjadi petanda atau ukuran populariti sebelum Datuk Seri Najib Razak memanggil pilihan raya umum ke-13, keputusan DUN Galas kemungkinan akan menggantikan kedudukan itu.

Galas juga salah satu kerusi yang terletak di kerusi Parlimen Gua Musang pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ketua Umno bahagian dan Ahli Parlimennya.

Berdasarkan peruntukan pilihan raya ruang bagi mengadakan mana-mana pilihan raya kecil (kecuali DUN Sarawak) adalah sehingga Mei 2011 iaitu dua tahun sebelum mandat semasa berakhir.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dipetik berkata, pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Galas perlu diadakan berikutan dengan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima akibat barah usus.

Mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

“Pilihan raya kecil perlu diadakan memandangkan ia belum sampai tempoh tiga tahun daripada tarikh pilihan raya umum yang lepas.

“Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas Mei tahun depan,” kata Wan Ahmad.

Che Hashim, 46, wakil rakyat penggal pertama merampas DUN Galas daripada BN dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Selain Galas, dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Gua Musang ialah Nenggiri dan Paloh.

Di DUN Kelantan, PR menguasai 39 kerusi manakala BN pula enam.

Mengikut perangkaan kasar DUN Galas terdiri dairpada 10,330 pengundi dengan kira-kira 6,200 orang Melayu, Cina (1,900), India (172) dan Orang Asli (2,000).

Mengambil kira pengalaman-pengalaman lalu SPR kemungkinan akan mengadakan pilihan raya hujung bulan Oktober selepas Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) 2010 yang akan berlangsung minggu ketiga bulan depan. Kira-kira seminggu sebelum itu Parlimen akan bersidang dengan tumpuan ke atas pembentangan Bajet 2011 dan laporan bahagian Model Baru Ekonomi (MBE).

SPR pernah menggunakan pendekatan itu sebelum ini. Misalnya ketika pilihan raya kecil serentak Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Lubok Antu pada awal April 2009 diadakan selepas perhimpunan agung akhir Mac.

Memetik alasan yang diberikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini, sudah pasti pilihan raya kecil hanya akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang berlangsung mulai 19 hingga 23 Oktober ini. Dari tarikh perhimpunan ini SPR masih mempunyai masa kira-kira sebulan lagi untuk mengadakan pilihan raya lebih-lebih lagi sebelum sambutan Aidiladha, 17 November.

Jika ini berlaku dan diambil kira bermakna sebagaimana pernah disaksikan di tiga pilihan raya kecil serentak Mac-April 2009 dan Manek Urai Julai 2009, parti-parti politik yang bertanding akan mempunyai ruang yang lama untuk berkempen secara tidak formal sebelum memasuki gelanggang secara rasmi.

Jika ia berlaku Umno-BN akan menggunakan perhimpunan semasa untuk memobilisasi jentera mereka.

Dalam kenyataan semalam Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang pilihan raya.

PAS akan mengadakan mesyuarat berhubung persiapan pilihan kecil DUN itu dalam masa terdekat ini, kata beliau.

Selain daripada soal tarikh, pilihan raya kecil inin juga dijangka menarik ia merupakan salah satu kerusi yang berada di Parlimen Gua Musang dan berlangsung selepas di sebalik pelbagai isu peringkat negeri dan pusat termasuklah isu tuntutan royalti oleh kerajaan negeri. Kes berkaitan difailkan pada 30 Ogos lalu.

Ramai juga akan melihat peranan yang akan dimainkan oleh Umno Gua Musang dalam menggerakkan jentera menghadapi pilihan raya kecil ini. Gandingan peranan Umno bahagian, negeri dan pusat juga sudah pasti akan menjadi aspek menarik untuk diperhatikan.

Beberapa jam sebelum Allahyarham Che Hashim menghembuskan nafas terakhir, laporan Bernama menyebut bahawa Umno Kelantan akan membawa isu mengenai kemungkinan orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pentabdiran negara pada Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Timbalan Penegrusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata peringatan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu perlu dipandang serius dan diketengahkan.

Umno Kelantan akan mengadakan konvensyen pada 15 Oktober

bagi membincangkan topik itu dan mengeluarkan resolusi untuk dikemukakan kepada Umno pusat untuk dibincangkan pada perhimpunan agung parti nanti.

Penganalisis dan pemerhati sudah mula mengandaikan isu berkenaan akan menjadi perhatian. Lebih-lebih lagi selepas ia juga disentuh dalam dialog tertutup Puteri Umno semalam.

Kemungkinan konvensyen ini juga akan menjadi program membuat persiapan menghadpai pilihan raya sebagaimana dilakukan oleh Konvensyen BN Selangor sebelum pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Kedua-dua PR dan BN kelihatan mempunyai senarai isu untuk dibawa ke gelanggang pilihan raya kecil DUN Galas sementara kita masih menanti satu dua lagi pilihan raya - kerana sebab teknikal - sebelum tempoh Mei 2011 tiba.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails