Wednesday, September 15, 2010

Perutusan Hari Malaysia oleh Lim Guan Eng

Selamat menyambut Hari Malaysia. Hari ini adalah hari yang istimewa buat kita semua. Gagasan Malaysia menjadi harapan untuk membawa rakyat ke arah perpaduan yang lebih erat dengan perkongsian sumber-sumber alam serta pembangunan yang lebih adil agihannya.

Sayangnya, setelah 47 tahun pembentukan Malaysia, kekayaan sumber alam Sabah dan Sarawak tidak dimaanfatkan dengan adil dan sempurna. Sehingga hari ini masih ramai rakyat Malaysia di kedua-dua negeri itu hidup dalam keadaan daif dan menyedihkan. Dalam pada itu pula, ada juga pihak-pihak tertentu yang mengaut keuntungan besar dari kedua-dua negeri itu tanpa mempedulikan nasib rakyat anak negeri.

Di satu sudut, ada pihak di Semenanjung yang berjuang mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera yang mereka anggap sebagai hak asasi dan dianggap tidak boleh dibincangkan sama sekali. Di satu sudut yang lain pula, para pejuang ini tidak mempedulikan kedudukan istimewa yang sama untuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Prinsip DAP adalah amalan peluang hak saksama tanpa mengira kaum dan agama. Pada masa yang sama DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan pada tahun Merdeka 1957. Ini bermakna jika Kerajaan Pusat benar-benar mahu menjamin dan melindungi keistimewaan Bumiputera, ia perlu memastikan pelaksanaan keadilan untuk semua Bumiputera tanpa mengira suku kaum, agama dan kedudukan geografi.

Kerajaan Pusat tidak boleh menganaktirikan Sabah dan Sarawak. Ia perlu memastikan kedua-dua negeri ini menikmati peluang-peluang pendidikan, pekerjaan, pelaburan dan bisnis yang sama sebagaimana yang dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung. Malah, lebih dari itu, Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian yang lebih atas kedudukan mereka sebagai rakan kongsi atau “partner” kepada Semenanjung mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Ada pihak mahu Sabah dan Sarawak memansuhkan apa yang dikatakan sebagai sekatan-sekatan untuk melindungi anak negeri dalam Perjanjian Malaysia, kononnya untuk membolehkan mereka menikmati peluang ekonomi. Golongan ini hanya nampak “sekatan” tetapi tidak melihat tindakan berat sebelah Kerajaan Pusat dan masalah pentadbiran tidak telus serta korupsi kepimpinan negeri yang bersekongkol dengan pucuk pimpinan Pusat.

Golongan ini bermati-matian mahu mempertahankan kedudukan istimewa kaum dan apa yang mereka sebut sebagai kontrak sosial kerana menganggap ia adalah sejarah penting. Tetapi mereka tiba-tiba lupa kepada sejarah apabila ia menyentuh tentang hak-hak asasi Sabah dan Sarawak Mereka seolah-olah lupa kepada Perjanjian Malaysia.

Jika ada di kalangan kita yang mahu Sabah dan Sarawak mengikis sikap parochial dan kenegerian, kita di Semenanjung juga tidak boleh bersikap parochial dan tidak lagi memandang rendah kepada kedua-dua negeri itu. Apabila semua pihak bersetuju untuk membuang sikap memperjuangkan satu kaum atau satu negeri dan akhirnya bersikap terbuka menerima pandangan orang lain, hanya pada saat itu kita akan benar-benar merdeka sebagai satu entiti yang bernama Malaysia.

Setakat ini, kami masih perlu berusaha gigih untuk membantu sahabat-sahabat kita dari Sabah dan Sarawak. Pakatan Rakyat menawarkan alternatif yang lebih baik kepada anak negeri Sabah dan Sarawak untuk memulakan perubahan ini. Kita yakin rakyat Malaysia akan membuat pilihan yang bernas atas dasar keadilan, kebebasan dan peluang saksama.


LIM GUAN ENG

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails