Friday, September 17, 2010

PERKASA lebih Hebat dari Pemuda UMNO - Khir Toyo

Datuk Seri Khir Toyo berkata, beliau melihat bahawa NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) lebih ke hadapan dalam menyuarakan isu-isu berkaitan orang Melayu di Selangor.

Dalam satu wawancara khas sebelum ini, bekas menteri besar Selangor itu berkata, beliau tidak tahu mengapa pergerakan Pemuda Umno tidak memainkan peranan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menafikan tanggapan bahawa peranan Umno dalam bersuara mengenai isu-isu tersebut telah 'dikontrakkan' kepada NGO seperti PERKASA .

"Mungkin NGO lebih banyak bersuara berbanding Umno, (tetapi) Umno ada strateginya sendiri (iaitu) cuba untuk mendekati masyarakat terlebih dahulu.

"(Presiden Umno) Datuk Najib (Razak) beritahu kita, turun ke bawah, jumpa lebih banyak (anggota) masyarakat (dan) dan bersama dengan mereka. Itu strategi kita," katanya lagi dalam satu wawancara.


Beliau juga mendakwa, Umno kini berjaya mengukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu di Selangor, hasil daripada kempen 'Selamatkan Selangor.' Ini merupakan kejayaan peringkat awal, sebelum mereka mula memasuki kawasan majoriti bukan Melayu, kata Khir lagi.

Teguh di belakang PERKASA

Khir menyuarakan pandangan beliau itu sebelum perkembangan terbaru yang dilihat meletakkan Najib dalam kedudukan yang tidak menyenangkan untuk menyatakan pendiriannya terhadap hubungan antara Umno-PERKASA.

Ini diperhatikan apabila penaung NGO berkenaan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah memberikan amaran bahawa Umno bakal kehilangan sokongan sekiranya ia bertindak memusuhi PERKASA.

Berlainan pula dengan pendirian ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam isu berkenaan. Khairy yang kerap bertegang leher dengan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali telah memberikan kata dua -- beliau akan bertindak keluar daripada parti sekiranya Umno menyokong pergerakan itu.

Khir pula berdiri teguh di belakang PERKASA. Katanya, pertubuhan itu wajar diberikan ruang untuk bersuara, seperti mana kebebasan yang dinikmati kumpulan yang menumpukan kepentingan kaum lain.

"Macam (pertubuhan) Suqiu, yang menjadi tempat untuk masyarakat Cina menimbulkan keprihatinan mereka terhadap pendidikan, hak masyarakat Cina, perkara-perkara seperti itu.

"Kalau nak negara terbuka, jadi kena terbukalah. Jangan bila PERKASA buat kita suruh tutup mulut dia. Orang lain kita suruh buka mulut pula. Kalau terbuka, biar terbuka, biar semua orang bersuara," katanya lagi.

Khir juga menolak tanggapan bahawa kekalahan Umno BN dalam dalam pilihan raya umum sebelum ini disebabkan keangkuhan parti tersebut.

'Pakatan lebih angkuh'

Malah, pemimpin dalam Pakatan Rakyat sekarang mungkin lebih angkuh apabila enggan menerima teguran-teguran yang disuarakan oleh pembangkang di negeri itu, kata Khir lagi.

Katanya, perkara itu boleh dilihat dalam isu melibatkan ADUN Serdang Teo Nie Ching yang bertindak memasuki sebuah surau di dalam kawasannya pada 22 Ogos lalu.

"Teo ini jika Tuanku tak keluarkan arahan dia akan masuk masjid juga. Masalahnya kerajaan negeri tak boleh ditegur. Kalau kita tegur secara baik (dan) dia dengar (teguran), tak ada masalah. Benda ini (pernah) berlaku. (ADUN Andalas, Dr) Xavier (Jayakumar) pernah ceramah di Masjid di Andalas.

"Dah tegur, kenapa buat lagi? Adakah kerajaan negeri menerima teguran? Adakah terlalu angkuh? Xavier ditegur secara baik, tak ada isu besar. Tapi kenapa buat lagi? Jangan terperanjat jika satu hari nanti ada bukan Islam membaca khutbah, mungkin," katanya lagi.

Jelasnya, tindakan untuk menakut-nakutkan masyarakat Islam dengan kenyataan tersebut merupakan satu langkah yang perlu .

"Masalahnya sekarang, kalau kita tak beri satu fear factor kepada orang, orang akan biasa (dengan) perkara ini. Patutnya kes ini tak payah sampai Tuanku terlibat," tambahnya.

Khir juga berkata, berdasarkan pertemuan dengan masyarakat akar umbi di Selangor, beliau dapat menyimpulkan bahawa pilihan raya akan datang di negeri itu akan lebih tertumpu kepada isu-isu melibatkan kos sara hidup rakyat.

"Saya lihat, isu yang akan datang -- rakyat tak gembira tentang taraf hidup yang tinggi. Saya kurang setuju bila katakan subsidi ancaman untuk rakyat dan kerajaan. Kerajaan perlu fikirkan bagaimana untuk mengurangkan kos hidup dan pada waktu yang sama tambah pendapatan. Ini yang orang risaukan, harga minyak naik, beras, gas. Orang sekarang merungut," katanya lagi.

Negara kebajikan

Tambahnya, kerajaan hari ini menganggap subsidi kepada orang ramai sebagai satu ancaman, sedangkan hampir semua kerajaan di dunia mengambil pendekatan "negara kebajikan."

"Pucuk pimpinan perlu fikirkan balik. Saya tahu apa yang rakyat mahukan sebab saya di bawah. Rakyat merungut kos hidup semakin tinggi. Itu tak dapat dinafikan. Saya pun terasa. Beras dulu RM18 sekarang RM24. (Harga) gas, beras, tol, minyak (juga meningkat)," katanya.

Tambahnya, kerajaan Pakatan di Selangor juga perlu membuktikan pencapaiannya, berdasarkan kajian daya saing yang dilakukan BN sebelum ini yang membolehkan negeri itu diiktiraf sebagai "negeri maju."

Katanya, sebelum kerajaan BN tumbang di Selangor, satu kajian yang dilakukan Institute of Management and Development (IMD), menunjukkan pentadbiran kerajaan itu mencatat 81 peratus markah.

Kajian oleh firma Switzerland itu melibatkan 70 indikator, meliputi kemajuan dari segi infrastruktur, kecekapan perniagaan persendirian, kecekapan kerajaan dan pembangunan ekonomi, kata Khir.

"Daripada indikator itu kalau kita capai tahap markah 75 peratus maka diangap negeri atau kawasan itu maju. Sebab itulah pada 2002, kita buat dengan IMD dan kita dapat hanya 60 markah. Tapi pada 2005 kita tingkatkan pada 76.5 peratus.

"Jadi kalau (menteri besar) Tan Sri Khalid (Ibrahim) hendak melihat tentang pencapaiannya sama ada lebih baik ataupun tidak, sepatutnya dia gunakan syarikat yang sama ataupun pertubuhan yang sama dengan kaedah indikator yang sama barulah boleh kata dia lebih baik daripada BN.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails