Saturday, September 25, 2010

Pemuda UMNO bohong, wang ihsan bukan dana kelab kuda

Oleh Oleh Muaz Mustaqim

BUTTERWORTH, 25 Sept — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan Pemuda Umno bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Sehubungan itu tegas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam sebagai “satu pembohongan.”

Lim menjelaskan, dana daripada kelab tersebut hanya digunakan untuk membantu bukan Islam yang jumlahnya 10 peratus di kalangan miskin tegar negeri itu.

“Dakwaan Reezal adalah usaha Umno mahu mensabotaj program warga emas,” kata Lim (gambar) selepas merasmikan program pembersihan pantai antarabangsa di sini hari ini.

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.


Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Surat itu, bertarikh 9 Julai 2010, yang ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob mengesahkan sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Reezal berkata, surat itu dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali ke rumahnya di ibu negara Rabu lalu, kira-kira seminggu selepas beliau membuat kenyataan berhubung isu berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, surat tersebut membuktikan bahawa kenyataan beberapa pemimpin kerajaan negeri sebelum ini bahawa pentadbiran mereka tidak pernah menerima dana bersumberkan hasil perjudian adalah satu pembohongan.

Akhir minggu lalu Reezal mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog, Pisau.net bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat minggu lalu adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails