Monday, September 27, 2010

Pemilihan PKR : Raja Petra Dicalonkan Tanding MPP

Oleh Qayum Rahman
Mon, Sep 27, 2010

KUALA LUMPUR: Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamaruddin telah dicalonkan untuk bertanding jawatan majlis pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan pucuk pimpinan parti pembangkang itu yang akan berjalan dari penghujung Oktober sehingga pertengahan November ini.

Raja Petra, yang kini bermastautin di London, England dicalonkan cabang Kangar, pada mesyuarat bahagian itu 18 September lepas.

Ketua Cabang Kangar Ko Chu Liang ketika dihubungi hari ini berkata, Raja Petra menjadi calon pilihan cabang Kangar kerana beliau mempunyai kepimpinan yang baik seperti penasihat PKR Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun Raja Petra kini bermastautin diluar negara, pemilihan PKR boleh menggunakan sistem teknologi terkini untuk merealisasikan pencalonan dari luar negara.

"Calon yang ditahan dibawah ISA pernah dapat bertanding dalam pilihan raya Umum hingga memperolehi kemenangan, ini bermakna Raja Petra juga boleh bertanding walaupun tidak berada di Malaysia.


"Cabang Kangar menyatakan pendirian menyokong Raja Petra setelah mengadakan mesyuarat cabang dengan membuat 20 pencalonan tetapi undian tertinggi menyebelahi Raja Petra," katanya.
Raja Petra Layak Bertanding

"Seramai 1000 ahli Cabang Kangar menyokong penuh pencalonan Raja Petra untuk bertanding MPP kerana beliau layak untuk menjawat jawatan tertinggi bagi mengukuhkan lagi parti dimasa akan datang.

"Saya berharap cabang lain juga akan memberi sokongan penuh terhadap Raja Petra untuk menjadi ahli MPP kali ini, katanya lagi.

Timbalan Ketua Cabang Kangar Asrul Nizam Abd Jalil, yang turut dihubungi berkata, ahli AMK dan wanita Kangar juga memberi sokongan penuh untuk membantu kemenangan Raja Petra menjelang pemilihan pusat nanti.

"Cabang Kangar memberi harapan tinggi terhadap pencalonan Raja Petra berikutan dasar perjuangan beliau mampu membawa perubahan kepada negara ini.

"Pemimpin tertinggi PKR perlu memandang serius cadangan dari cabang Kangar kerana sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada bakal pemimpin berkebolehan seperti Raja Petra," katanya.

Beliau Masih Ahli PKR

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Radin Shamsul hari ini mengesahkan bahawa Raja Petra masih lagi ahli PKR yang sah sehingga hari ini.

"Setakat ini beliau (Raja Petra) masih ahli PKR yang sah sekaligus beliau boleh dicalonkan untuk bertanding sebarang jawatan di dalam parti," katanya.

Raja Petra pernah ditangkap pada 12 September 2008 kerana menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan diperintah untuk ditahan bawah ISA.

Penulis blog itu ditahan atas alasan beliau antara lain, memiliki dan mengusahakan laman web Malaysia Today dan berniat dan sengaja menyiarkan artikelnya dan juga komen pembaca dalam Malaysia Today yang kritikal dan menyinggung perasaan orang Islam, kesucian Islam dan Nabi Muhammad.

Raja Petra juga menghilangkan diri selepas dihadapkan ke mahkamah selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei 2009 lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, melalui portal berita Malaysia Today.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails