Monday, September 13, 2010

Pemilihan PKR : Mengapa Anwar perlu memimpin secara langsung?

Ketika para jeneralnya kalut melobi dan berkempen untuk menduduki kerusi nombor dua parti, Datuk Seri Anwar masih berdiam diri dan tidak memberikan indikasi jelas samada dia mahu atau tidak memegang jawatan presiden PKR.

Ahli-ahli parti barangkali masih lagi menunggu pengumuman rasmi beliau, sama ada untuk tampil memimpin PKR secara langsung sebagai presiden atau mahu terus dengan kedudukannya sebagai Ketua Umum parti; suatu kedudukan yang dicipta khas untuk dirinya ketika mana dia tidak diperbolehkan memegang apa-apa jawatan dalam parti ekoran hukuman yang dipaksakan ke atasnya.

Alasan Anwar dan alasan yang dikongsi bersama oleh barisan pimpinan tertinggi PKR adalah; jika Anwar ditakdirkan dipenjara lagi nanti, maka siapa pula yang akan memangku jawatan tersebut.

Makanya pada pendapat kolektif mereka, adalah lebih selamat jika Datuk Seri Dr Wan Azizah terus menjadi presiden. Namun yang selamat hanyalah “kuasa” Anwar ke atas PKR kerana dia masih boleh memberi arahan kepada isterinya yang tidak mungkin akan engkar. Jika orang lain yang memangku jawatan tersebut barangkali Anwar akan sakit kepala di dalam penjara.

Orang penting

Namun formula seperti itu tidak juga dapat menyelesaikan polimik kepemimpinan PKR secara keseluruhannya kerana ada satu lagi jawatan penting yang menjadi sasaran mereka yang berminat menjadi orang penting parti.

Hal ini menjadi nyata apabila timbalan presiden sekarang, iaitu Syed Hussin Ali sudah memberikan tanda-tanda untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut. Hakikat ini membuka ruang kepada perebutan jawatan tersebut di kalangan beberapa pemimpin lama dan baru dalam PKR, yang terngiur dengan prospek kedudukan berimbuhan besar dalam kerajaan baru yang mahu dibentuk selepas PRU ke 13 nanti, baik di negeri mahupun di persekutuan.

Maka berterbanganlah calon-calon timbalan presiden ke seluruh pelusuk negara menemui ahli parti dan memohon sokongan bagi menjawat jawatan tersebut. Malah adalah yang mendakwa mereka direstui oleh Anwar untuk bertanding merebut jawatan kedua penting itu.

Nyaris-nyaris pula para calon tersebut “berlanggaran” antara satu dengan lain di medan kempen dek kerana “lajunya” jentera kempen yang terpaksa mengatur “agenda bersalam” dengan sebanyak mungkin bakal pengundi dalam pemilihan pemimpin PKR yang dianggarkan berjumlah hampir setengah juta itu.

Kini, agenda parti untuk menang pilihanraya umum yang akan datang nampaknya sudah jatuh ke urutan nombor dua. Agenda calon-calon berkenaan adalah memastikan jawatan nombor dua dapat dipegang menjelang bulan November nanti.

Begitulah juga, penyokong masing-masing pun menjadi sibuk dengan pelbagai program yang bermatlamat mendapatkan sebanyak mungkin ahli turun mengundi calon pilihan mereka. Bajet pengangkutan, makan minum dan duit saguhati atas pelbagai nama sudah mula disiapkan dalam blueprint kempen masing-masing.

“Envelop-envelop” pun sudah ditempah. Malahan wang pendahuluan bagi belanja berkaitan sudahpun keluar masuk akaun-akaun rahsia yang ramai ahli parti tidak tahu mengenainya.

Makan-makan

Kalau tidak dengan turunnya bajet seperti itu masakan mungkin jentera parti peringkat cabang dan ranting yang diketahui miskin itu mampu menganjur siri-siri pertemuan dan makan-makan yang ditopengkan dengan majlis berbuka, jamuan hari raya, meraikan anak yatim dan pelbagai acara kreatif yang tidak berupaya dianjurkan selama ini.

Inilah “wajah-wajah politik lama” yang diperbaharui dan dimodifikasi serta dipaksakan ke dalam budaya politik PKR, oleh mereka yang dulunya pernah dijangkiti oleh sindrom yang memualkan itu.

Semua amalan yang tidak relevan itu dihidangkan kembali demi untuk merebut jawatan dalam parti termasuklah jawatan nombor dua PKR, yang pada pendangan mereka akan menjanjikan jawatan terpenting dalam kerajaan yang mahu mereka rampas nanti.

Ini belum lagi di kira betapa “gah”nya kempen pemilihan di peringkat cabang yang sudah menampakkan amalan huduh bakal-bakal pemimpin yang akan di amanahkan memimpin negara dan negeri . Apatah lagi dengan kempen jawatan ketua AMK yang mirip stail berkempen jawatan dalam pemuda Umno, dan tidak kurang hebat jawatan ketua wanita.

Budaya mempromosi pencaicai oleh “Ketua Kem” yang bertanding membayangkan seolah-olah PKR sedang asyik menostalgiakan fenomena puak Ghee Hin dan Hai San yang berebut kuasa untuk memerintah lombong bijih di Perak dan Selangor suatu ketika dulu.

Apakah PKR mahu menghidupkan kembali budaya berkempen seperti ini yang telah membusukkan dan mereputkan kepemimpinan Umno ? Tidakkah ada kaedah lain yang dapat difikirkan bagi mengurang dan meniadakan budaya berkempen dan memilih pemimpin dengan cara begitu ?

Jika benar ajaran Islam menjadi salah satu teras penting perjuangan PKR, maka budaya seperti ini tidak wajar dibenarkan berputik dan mengakar dalam parti.

Ahli-ahli parti akhirnya akan menjadi bosan dengan karenah pemimpin yang hanya sibuk dengan agenda menjamin kedudukan mereka di dalam parti daripada berusaha menjamin kedudukan dan nasib rakyat terbanyak.

Justeru itu Anwar harus segera melakukan sesuatu tindakan yang “di luar kebiasaan” dalam konteks mendidik pemimpin dan pendokong parti mengamal pendemokrasian pemilihan barisan kepemimpinan parti.

Autokrasi perlu digunakan

Tidak dapat dinafikan bahawa tidak semua amalan demokrasi dapat menatijahkan kebaikan kepada organisasi. Ada kalanya elemen autokrasi perlu digunakan sesekali dan dalam banyak hal elemen perundingan dan permuafakatan perlu diutama serta diperbanyakkan.

Kenapa tidak dibudayakan amalan permuafakatan dan perundingan sesama pemimpin pelbagai peringkat dalam menentukan barisan pemimpin PKR. Kenapa juga tidak dibudayakan amalan berkongsi dan bergiliran memimpin dalam parti jika benar para pemimpin PKR mendukung semangat perjuangan yang mengutamakan rakyat daripada kedudukan mereka sendiri.

Banyak sekali ajaran dan pengalaman dari sejarah kepemimpinan Islam yang barangkali disifatkan tidak demokratik oleh sesetengah pihak namun terbukti berjaya “mengamankan organisasi” .

Hujah untuk menyuburkan demokrasi dalam parti melalui amalan bertanding dan berkempen memang ada kebenarannya, tetapi mempraktikkan elemen-elemen demokrasi yang berpotensi memusnahkan keharmonian dan keintiman silaturrahim anggota parti tentunya tidak akan mendatang apa-apa kebaikan kepada parti. Lebih malang lagi apabila ianya menjurus kepada sengketa dan permusuhan sesama pendokong dan juga penyokong yang akhirnya melemah dan mencederakan parti.

Anwar harus segera bertindak membunuh “ulser kecil” yang bakal membengkak menjadi “kanser” dalam PKR ini. Dia harus segera menamatkan persaingan tidak sihat bagi jawatan-jawatan dalam parti terutamanya jawatan penting seperti timbalan presiden yang hangat diperkatakan sekarang ini.

Sebagai “Mudir Am” parti sekarang ini, Anwar seharusnya sudah mencium bau-bau busuk yang “dikencingkan” oleh beberapa pemimpin parti yang beriya-iya mahu bertanding. Bau busuk ini tidak harus dibenarkan menghancing parti. Anwar tidak boleh membenarkan gejala buruk ini dihidupkan dalam PKR yang menjadi harapan rakyat untuk merubah senario politik negara.

Sila sambung bacaan anda di SINI

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails