Wednesday, September 29, 2010

Pemilihan PKR : Kemenangan ‘Team Reformasi’ dipertikai

Oleh Norakmah Mat Youb
2010/09/29


Mereka menunjukkan isyarat tidak bagus dan laporan polis

Kemenangan calon daripada ‘Team Reformasi’ dipertikai, didakwa tak sah

GEORGETOWN: Insiden kekecohan pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa negeri, turut berlaku di Pulau Pinang apabila beberapa ahli parti itu mendakwa pemilihan cabang Bayan Baru di sini, tidak sah kerana mesyuarat dijalankan secara tidak adil dan berat sebelah.

Pemilihan yang berlangsung di Dewan Jubilee Sungai Nibong di sini, Sabtu lalu, menyaksikan hampir semua jawatan dipertandingkan termasuk Ketua Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita dimenangi ‘Team Reformasi’ yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin. Tze Tzin yang juga bekas Setiausaha Politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menang kerusi Ketua Cabang Bayan Baru dengan 499 undi selepas menewaskan bekas Timbalan Ketua Cabang itu, M Nyanasegaran yang hanya memperoleh 265 undi.


Jawatan Ketua Cabang PKR Bayan Baru kosong selepas ketuanya, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar daripada parti, awal tahun ini.

Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Bayan Baru, Annuar Ismail, mendakwa keputusan pada pemilihan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana ia satu usaha untuk menyelamatkan kedudukan pemimpin tertentu.

Justeru, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Nibong, Ahad lalu, berhubung proses pemilihan cabang PKR Bayan Baru.

Beliau mendakwa sepanjang proses pemilihan berlangsung, ‘Team Rakyat’ dinafikan haknya sebagai pemerhati dan petugas, manakala penyokong ‘Team Reformasi’ dilantik sebagai petugas pemilihan.

Katanya, masa mengundi turut dilanjutkan dari jam 4 petang ke jam 5.30 petang tanpa notis ataupun usul dalam mesyuarat agung yang bersidang pada hari sama (Sabtu).

“Pada pemilihan itu, kertas fotostat juga digunakan sebagai kertas undi, selain pengundi mengadu petugas memanipulasi undi dengan memberi kertas undi lebih kepada pengundi Cina, tidak memberi kertas undi AMK kepada pengundi muda, kaum India dan wanita,” katanya pada sidang media, di sini, malam kelmarin.

Annuar berkata, jumlah undi yang diterima agak ganjil dan tidak munasabah iaitu 792 undi berbanding pengundi melebihi 1,500 orang.

Beliau juga membuat empat aduan, masing-masing dua aduan lisan dan rasmi sebagai bantahan awal pada hari pengundian, namun tidak dihiraukan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahida Syed Kamarulzaman, sebaliknya mengugut untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Kami membantah keputusan pemilihan itu kerana dijalankan secara tidak bersih.. Jika selama ini PKR selalu melaung-laungkan menuntut keadilan, mereka juga perlu adil dan reformasi diri sendiri,” katanya.


Berita Harian Online


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails