Saturday, September 4, 2010

Pemilihan PKR : Dua laporan polis terhadap ketua Indera Mahkota

Oleh Muda Mohd Noor

KUANTAN: Belum pun mesyuarat bermula, PKR cabang Indera Mahkota sudah panas apabila dua laporan polis dibuat terhadap Ketua Cabang, Azan Ismail oleh dua calon yang akan bertanding pada 18 September ini.

Kedua-dua laporan polis itu dibuat oleh calon timbalan ketua cabang dan satu lagi laporan oleh calon naib ketua cabang PKR Indera Mahkota di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuantan, Selasa lalu.

Ketika dihubungi Azan yang juga ahli parlimen Indera Mahkota mengesahkan perkara itu.
"Saya telah mendapat dan membaca salinan laporan polis berkenaan yang mendakwa saya mengugut mereka menjelang pemilihan parti.

"Pegawai penyiasat polis telah menghubungi saya dan memberitahu bahawa laporan itu tidak berasas dan polis tidak mencampuri urusan politik parti," katanya.

Menurut Azan, dalam pemilihan kali ini PKR Indera Mahkota semua jawatan utama iaitu ketua cabang, timbalan dan naib akan berlaku pertandingan satu lawan satu.

Azan akan ditentang oleh Setiausaha PKR negeri, Razali Idris yang menurut ahli parlimen Indera Mahkota itu ditaja oleh Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Azan juga mendakwa Razali menjadi ahli cabang Dungun di Terengganu dan bukannya Indera Mahkota.

"Saya juga mendapat maklumat kumpulan yang akan menentang saya menuduh saya menggelapkan wang kira-kira RM45,000 dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor, April lalu.

"Mereka juga menuduh saya tidak membayar harga makanan sambutan perayaan baru-baru ini," katanya.

Azan berkata, menolak semua tuduhan itu dan menjelaskan ia semata-mata untuk menjatuhkannya dari jawatan ketua cabang Indera Mahkota.

Beliau mendakwa ada pemimpin besar PKR Pahang yang menjadi dalang terhadap situasi tidak sihat di cabang Indera Mahkota.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails