Monday, September 27, 2010

Pemilihan PKR di Kapar, Klang kecoh dan MEMALUKAN.

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Wan Faizal Ismayatim
2010/09/27


KERTAS undi dibuang di atas jalan raya apabila perwakilan tidak puas hati
dengan cara pemilihan Cabang PKR di Klang, semalam.

Berlaku tumbuk menumbuk, kerusi dibaling apabila perwakilan tak puas hati cara pemilihan

KLANG: Pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kapar dan Klang, semalam kecoh apabila berlaku kejadian tumbuk menumbuk, kerusi dibaling dan kertas undi dibuang di atas jalan raya apabila perwakilan tidak puas hati dengan cara pemilihan itu dijalankan.

Keadaan itu menyebabkan pemilihan di kedua-dua cabang berkenaan terpaksa ditangguhkan ke tarikh belum ditetapkan.


Kertas undi yang bertaburan

Di Klang, kira-kira 3,000 ahli daripada kira-kira 6,000 ahli di cabang itu datang mengundi di Pandamaran, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Bagaimanapun, pengundian yang dijadualkan bermula pada 10 pagi, hanya dimulakan pada jam 11 pagi selepas kertas undi lewat sampai.

Pemilihan mula kecoh apabila seorang petugas didakwa meletakkan beberapa kertas undi dalam kotak undi dan tidak lama kemudian, penyelaras pemilihan di cabang itu kehabisan kertas undi untuk diberikan kepada ahli bagi memilih ketua cabang.

Keadaan menjadi semakin kelam kabut apabila salinan kertas undi tanpa nombor siri diedarkan dan selepas menerima banyak bantahan, sekumpulan ahli mengunci pintu dewan dan membawa keluar kotak undi sebelum membuka dan membuang semua kertas undi berkenaan di atas jalan raya ketika hujan lebat.
Keadaan hampir sama berlaku di Kapar apabila timbul dakwaan ada bukan ahli datang mengundi di cabang berkenaan termasuk ada yang dilihat membuang lebih daripada satu kertas undi.

Pada masa sama, ada nama ahli yang layak mengundi tiada dalam senarai dan ada kertas undi tidak tertera nama calon bertanding.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kejadian tumbuk menumbuk dan kira-kira jam 1 tengah hari, pemilihan cabang itu juga ditangguhkan.

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, berkata ada kira-kira 5,600 ahli PKR di cabang itu dan kira-kira 3,000 datang untuk mengundi.

“Kami tidak ada cukup kelengkapan untuk menangani jumlah yang besar itu,” katanya.

Beliau yang bertanding untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang, berkata ada bukan ahli PKR yang menimbulkan provokasi ahli yang hadir pada proses pemilihan dan dipercayai ia adalah satu usaha pihak tertentu untuk menggagalkan pemilihan itu.

“Kami perlu memperkuatkan tahap keselamatan dan memastikan hanya ahli dibenarkan masuk ke dewan,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, pemilihan PKR Cabang Lembah Pantai yang turut dihadiri Ahli Parlimen kawasan itu, Nurul Izzah Anwar, juga kecoh selepas berlaku pertengkaran membabitkan dua kumpulan.

Dalam kejadian di Dewan Serba Guna Taman Sri Manja kira-kira jam 7 malam itu, kekecohan dikatakan berpunca rasa tidak puas hati sebelah pihak yang mendakwa wujud ‘pengundi hantu’ apabila jumlah kertas undi yang dikeluarkan melebihi jumlah pengundi berdaftar.

Difahamkan, kekecohan berlaku apabila seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat bertindak menendang pintu dewan sebelum keluar menyebabkan berlaku keadaan tegang dan pertengkaran membabitkan dua kumpulan.

Empat lelaki dipercayai penyokong Nurul Izzah yang tidak berpuas hati kemudian cuba menyerang lelaki terbabit menyebabkan campur tangan beberapa individu lain sebelum berlaku kekecohan dan perang mulut di kalangan mereka.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan keadaan tegang itu kembali terkawal apabila beberapa anggota bersama tiga kenderaan polis tiba di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.


Berita Harian Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails