Wednesday, September 22, 2010

Pemilihan PKR : 176 Aduan pelbagai kesalahan diterima.

Oleh Jamilah Kamarudin dan Fazy Sahir
Wed, Sep 22, 2010

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini menerima 176 aduan rasmi sepanjang proses Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) sejak 17 September lalu, namun tiada aduan mengenai wujudnya politik wang dan pengundi hantu direkodkan.

Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata, 176 aduan itu meliputi aduan berkenaan calon bertanding, proses pemilihan pimpinan pusat dan masalah disiplin calon yang bertanding.

"Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) meneliti aduan yang direkodkan setiap hari dan akan memastikan semua aduan ini ditangani.

"Namun JPP mendapati tidak ada satu pun aduan yang berkaitan proses beli undi dan kewujudan ‘hantu seperti yang dilaporkan media sebelum ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR disini hari ini.


Kenyataan Saifuddin itu sekaligus menepis dakwaan mengenai kewujudan amalan tersebut di beberapa Cabang negeri sepanjang proses pemilihan berlangsung sejak minggu lalu.

Ini termasuk dakwaan bekas Timbalan Setiausaha Agung P Jenapala Perumal Subbian mengenai penyelewengan dan salah guna jentera kerajaan negeri sepanjang tempuh berkempen sehingga ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, calon yang didapati melanggar peraturan proses pemilihan akan dikenakan amaran, dibatalkan pencalonan, serta dibatalkan kemenangan sekiranya ada bukti kukuh oleh JPP.

"Manakala bagi calon yang mempunyai masalah disiplin, Jawatankuasa Disiplin Pusat akan menyiasat aduan itu dan sekiranya terbukti benar calon terbabit boleh dikenakan sama ada amaran, denda, digantung keahliannya atau dipecat daripada PKR," katanya.

84 cabang selesai bermesyuarat

Sementara itu, PKR turut membuka ruang kepada semua calon untuk menulis di laman web parti.

Ia sebagai memberi ruang kepada calon memperkenalkan diri masing-masing malah pihaknya turut mengusulkan pentas forum atau debat.

"Sejumlah calon daripada Presiden, Timbalan mereka akan diberi ruang untuk menulis dan memanfaatkan laman web parti. Mereka boleh tulis apa-apa sahaja bagi memperkenalkan diri kepada ahli.

Pentas forum dan debat

"Malah kami dalam perbincangan untuk membuka pentas forum dan debat bagi para calon menzahirkan idea. Ia beri ruang kepada ahli berinteraksi dengan calon.

"Maka ia memberi kelebihan jika wujud serangan atau kritikan peribadi berbaur firnah kepada calon agar mereka dapat menepis segala kritikan itu," katanya.

Menurut Saifuddin, status 450,000 keanggotaan secara keseluruhan itu terdiri daripada 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 15 peratus lain-lain.

Selangor turut mendahului jumlah anggota PKR paling ramai dengan 108,000 ahli yang meliputi 30 peratus. Ini diikuti Sabah dengan 66,000, Perak (33,000), Pulau Pinang (31,000), Sarawak (22,000) dan Wilayah persekutuan (17,000).

Menerusi 204 cabang secara keseluruhan, 84 daripadanya telah selesai bermesyuarat dan 67 cabang menyaksikan pertandingan.

Setakat ini dua calon layak bertanding untuk merebut jawatan presiden iaitu penyandang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, calon yang layak adalah Naib Presiden Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Datuk Zaid Ibrahim serta Pengarah Strategik PKR Tian Chua.

Manakala 15 calon layak bertanding bagi Naib Presiden:

01- Tan Sri khalid ibrahim (Menteri Besar Selangor)
02- Datuk Chua Jui Meng (Pengerusi MPN Johor)
03- Fuziah salleh (Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat/Ahli Parlimen Kuantan)
04- Dr Lee Boon Chye (Naib Presiden)
05- Mansor Othman (TKM 1 Pulau Pinang/Pengerusi MPN Pulau Pinang)
06- Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak/Pengerusi MPN Selangor)
07- Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai)
08- Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK Pusat)
09- R Sivarasa (Naib Presiden/Ahli Parlimen Subang)
10- Datuk Zaid Ibrahim (Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan)
11- Dr Xavier Jeyakumar (ADUN Sri Andalas/ Timbalan Setiausaha PKR Selangor)
12- Yahya Shaari (Pengerusi Tetap AMK)

Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) setakat ini 74 pencalonan layak untuk bertanding bagi jawatan tersebut.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails