Sunday, September 26, 2010

Pemilihan Cabang : Ahad penuh kecoh, MEMALUKAN buat PKR!

Memang memalukan tetapi kita juga harus sedar ini adalah Pemilihan yang pertama kalinya diadakan didalam negara kita ini.. jadi kita perlu belajar dari kesilapan dan perbaiki segala kelemahan yang jelas ketara..

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 26 Sept — Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengadakan pemilihan menggunakan sistem secara langsung, menyaksikan situasi paling buruk hari ini — kali pertama sejak bermulanya mesyuarat agung tahunan cabang minggu lalu dengan pemilihan enam bahagian digantung dan dipertikaikan.

Lima daripada bahagian itu melibatkan negeri Selangor iaitu Klang, Kapar, Kuala Langat, Subang dan Kota Raja.

Satu lagi cabang melibatkan Parit Sulong di Johor.

Di Petaling Jaya Utara, Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong kalah dan mendakwa pesaingnya tidak layak bertanding tetapi namanya dibenarkan.

Seorang pemimpin yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya menyifatkan perjalanan pemilihan hari ini khususnya di cabang-cabang di Selangor itu sebagai “sangat teruk” dan di luar jangkaan mereka.

“Ini kali pertama kami mengadakan pemilihan langsung, yang sepatutnya ahli-ahli menunjukkan contoh kepada negara bahawa PKR mampu mengadakan pemilihan dengan tenang dan bersopan, tetapi sebaliknya berlaku,” kata pemimpin dengan namanya tidak mahu didedahkan.


Beliau menggambarkan bahawa pegawai-pegawai diugut dan diancam agar meneruskan pemilihan.

Ia jelas merujuk kepada keadaan di cabang Subang yang pemilihannya ditangguhkan ke hari lain tetapi pegawai pengawas terpaksa mengadakan pemilihan ekoran ugutan sekumpulan ahli.

Mesyuarat agung tahunan cabang itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan kira-kira tengah hari apabila sebahagian ahli meninggalkan pusat pemilihan ekoran kelewatan mengeluarkan kertas undi baru.

Kertas undi baru terpaksa dikeluarkan selepas beberapa nama calon tercicir dan dikeluarkan.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan pemilihan Subang diteruskan selepas pegawai pengawas diugut agar meneruskan pemilihan.

Pengundian diteruskan tanpa kehadiran ahli-ahli yang menyokong Naib Presiden R. Sivarasa.

“Kami terpaksa adakan pemilihan di sebalik tekanan dan tegangan. Keputusan pemilihan kami serahkan kepada parti untuk putuskan kesahihan sama ada boleh diterima ataupun tidak,” kata pegawai berkenaan.

Sivarasa yang dihubungi berkata, “pada pandangan saya ia tidak sah kerana pegawai pengawas sudah pun memutuskan pemilihan telah ditangguhkan.”

“Saya tidak boleh komen sebab saya seorang calon,” kata beliau ketika dihubungi sekitar 6 petang tadi.

Jawatankuasa pemilihan difahamkan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi memutuskan beberapa insiden yang berlaku hari ini.

Mesyuarat berlangsung sekitar 10.30 malam ini.

Mesyuarat tergempar itu dipanggil juga ekoran insiden di cabang Kota Raja di mana peti-peti undi dirampas dan “dilarikan” sehingga menyebabkan anggota polis dipanggil.

“Peti-peti undi dibawa ke ibu pejabat untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak pasti sama ada undi akan dikira di ibu pejabat hari ini ataupun esok, kemudian hari,” kata pegawai itu lagi.

Hari ini, sebanyak 34 cabang dijadual untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing hari ini.

Di Selangor, lapan cabang mengadakan mesyuarat hari ini iaitu Kapar, Klang, Kota Raja, Kuala Langat, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Subang dan Shah Alam.

Di Subang, Sivarasa berhadapan dengan persaingan lima penjuru iaitu Datuk Shawal Salim, Muhammad Najmi Samsudin, Shahrum Kazindin dan P Voolaganathan.

Sivarasa juga Ahli Parlimen Subang.

Satu lagi cabang yang dilihat untuk diperhatikan ialah Kota Raja di mana Ketuanya Dr A. Xavier Jayakumar berhadapan dengan S. Kottappan dan M. Telaiamblam.

Dr Xavier adalah Adun dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Di Kapar, jawatan ketua cabang ditandingi oleh Mohd Bakir Abd Wahab, Abdul Rahman Ibrahim, Azizi Ayob, Mohd Miftahhudin Abdullah, Mohd Ruzaini Mohd Sani dan Khiaarul Anuar Othman.

Mesyuarat itu ditangguhkan ekoran kekecohan disebabkan oleh kehadiran ahli yang terlalu ramai berbanding lokasi pemilihan yang sempit di dewan serba guna Meru dan kehilangan nama calon jawatan sayap AMK dan Wanita.

“Pegawai pengawas tidak dapat mengawal keadaan apabila perwakilan yang hadir mencetuskan kekecohan, tetapi tiada insiden kerusi terbang di cabang Kapar,” kata Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat cabang Klang pula ditangguhkan ekoran kekecohan yang tercetus disebabkan rasa tidak puas hati dengan proses pengundian.

“Tiga calon ketua cabang mengusulkan agar pemilihan ditangguhkan, dan kemudian apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pegawai pengawas, maka ada yang rampas peti undi dan pecah pintu,” kata ketua cabangnya Suhaimi Mohd Nor.

Kata beliau, kekecohan timbul kira-kira pukul 3 petang, dua jam sebelum proses pengundian dijadual untuk berakhir.

“Kehadiran ahli adalah di luar jangkaan. Jawatankuasa pemilihan menyediakan sebanyak 2,000 kertas undi iaitu sekitar 30 peratus daripada jumlah ahli.

“Tetapi yang hadir 50 peratus dan jawatankuasa pemilihan menyediakan kertas undi yang dibuat salinan foto.

“Ia sepatutnya boleh diterima, tetapi malangnya ada calon yang menolak dan membantah penggunaan kertas salinan foto ini ketika pengundian sedang berlangsung,” kata beliau lagi.

Jawatan ketua cabang itu ditandingi oleh Suhaimi, P. Krishnasamy, Mohd Fuzi Abd Ranee, Sheikh Ahmad Sheikh Sadarudin dan Yew Boon Lye.

Mesyuarat dan pemilihan cabang Kuala Langat juga ditangguhkan atas masalah yang sama.

Ketua cabangnya, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata sekumpulan pihak, dipercayai calon yang merasakan akan kalah mencetuskan kekecohan sehingga cuba merampas kertas-kertas undi dan peti undi.

“Ini dilakukan oleh mereka yang merasakan sudah rasakan kekalahan,” kata beliau yang mendakwa cabangnya mempunyai 8,000 ahli.

“Apabila wujud kekecohan sampai peti undi hendak dipecahkan, kami tiada pilihan terpaksa menangguhkan mesyuarat dan pemilihan,” kata beliau ketika dihubungi malam ini.

Abdullah Sani berkata, ada pihak yang cuba menyerang pegawai pengawas yang mengendalikan pemilihan di cabang itu.

Beliau dicabar oleh Bastani Dahlan, David Cheong Kian Young, Mohd Shukor Haris dan Norazmi Mohamed Tahir.

Dalam pada itu, Xavier ketika dihubungi lewat malam ini berkata, kesemua 18 peti undi telah dibawa ke ibu pejabat PKR dan sedang dikira.

“Proses pengiraan dijangka habis pagi nanti,” kata beliau sambil menambah. penyokong-penyokongnya terpaksa melindungi peti undi daripada dirosakkan dan kertas undi dikoyakkan oleh seorang calon yang menentangnya.

“Saya tidak melihat apa-apa kesalahan di pihak penyokong saya dalam melindungi peti undi dan kertas daripada dirosakkan,” kata Exco Kerajaan Negeri ini sekitar 11.30 malam tadi.

Undi mula dikira di Dewan MPSA Bukit Naga bermula pukul 7.20 petang tadi selepas proses pengundian dijalankan dengan baik pada pukul 5.40 petang.

Wakil rakyat itu menambah beliau menjangkakan pemilihan dapat dijalankan dengan baik dan tenang manakala semua yang bertanding akan kembali bersatu selepas pemilihan untuk menghadapi pilihan raya umum.

“Tetapi yang ini berlaku sebaliknya, dan saya sungguh kecewa dengan apa yang disaksikan hari ini,” kata beliau yang berada di ibu pejabat parti di Petaling Jaya semasa dihubungi.

Polis dan anggota Rela digunakan untuk meredakan suasana di Kota Raja.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails