Thursday, September 9, 2010

Pemilihan PKR : Apa yang sama dengan UMNO?

Oleh : Suhaimi.

Ada golongan-golongan tertentu cuba menyamakan kerancakan kempen untuk pemilihan jawatan-jawatan didalam PKR khususnya jawatan Timbalan Presiden dengan amalan-amalan yang berlaku didalam UMNO.

Saya sudah beberapa kali terlibat didalam pemilihan semasa berada didalam UMNO. Dan sehingga kini saya belum nampak wujudnya persamaan amalan yang berlaku didalam PKR dengan yang pernah berlaku didalam UMNO.

Kalau pun ada persamaan ialah kecenderungan pemimpin-pemimpin untuk bertanding dan kecenderungan anggota-anggota parti untuk menyokong calon-calon tertentu.

Didalam keadaan keributan pemilihan didalam UMNO, mereka menggunakan kuasa politik bagi mereka yang memegang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Menteri Besar dan ahli-ahli EXCO. Mereka memberikan tawaran yang tidak dapat diberikan oleh calon-calon lain.

Mereka yang mempunyai begitu banyak wang, ramai yang kaya didalam UMNO kerana mereka mendapat peluang yang begitu banyak kerana mereka sanggup menjadi kroni, menawarkan wang kepada perwakilan-perwakilan.

Sesetengah perwakilan dari sesetengah Bahagian mampu menukar 4 biji tayar baru dan merubahsuai kereta masing-masing setelah Perhimpunan Agung UMNO kerana begitu banyak wang yang mereka boleh bawa balik.

Mereka mendapat wang bukan dari satu punca tetapi berbagai punca, kadang-kadang dari calon-calon yang mereka tidak sokong, dan calon-calon itu mahukan sokongan. Kadang-kadang mereka menjualkan calon-calon mereka dengan "sistem barter trade", "engkau sokong calon tajaan aku, dan aku sokong calon tajaan kamu" dengan perkiraan wang yang sesuai.

Itulah politik wang, itulah rasuah politik. Itulah amalan didalam UMNO yang merosakkan parti itu, dan yang cuba diatasi oleh parti itu. Mungkinkah UMNO akan berjaya mengatasi masalah itu?

Pemilihan mereka yang terbaru menampakkan segala usaha mereka masih belum berjaya. Jawatankuasa Disiplin parti itu telah juga mengenakan disiplin yang kuat kepada mereka yang didapati mengamalkan politik rasuah, ada Menteri yang tersungkur. Ada pemimpin-pemimpin yang dibawa ke Mahkamah, tetapi ada juga yang didapati bersalah melakukan politik wang bukan sahaja tidak diambil tindakan bahkan dilantik kekal sebagai Ketua Menteri dan menjadi Anggota Majlis Tertinggi. Ini bermaksud bahawa tindakan UMNO terhadap pengamal-pengamal rasuah semasa pemilihan didalam parti mereka adalah bertujuan untuk mengekang sesetengah pihak dan menutup mata kepada sesetengah yang lain.

Politik wang atau rasuah politik tidak berlaku didalam PKR. Ada juga kempen yang cuba memburuk-burukkan calon-calon tertentu dengan fitnah-fitnah. Ini adalah gejala pertandingan yang tidak dapat membendung naluri-naluri negatif kepada penyokong-penyokong. Tetapi gejala itu adalah terhad kerana anggota-anggota PKR sendiri berjaya membuat teguran dan menyekat gejala-gejala buruk itu.

Walaupun penamaan calon belum lagi berlangsung untuk pemilihan pimpinan Pusat, tetapi calon-calon yang berhajat telah pun menyatakan hasrat masing-masing dan mereka sudah memulakan kempen.

Kempen pertama yang dijalankan adalah untuk mendapatkan pencalonan dari Cabang-Cabang. Tindakan sebegini adalah wajar. Jika seseorang calon itu ingin bertanding, beliau sudah pasti perlu berkempen untuk menyatakan hasratnya agar nama beliau dapat dicalonkan. Ini adalah demokrasi yang segar, dan kempen-kempen yang dijalankan membuatkan anggota-anggota parti merasakan bahawa mereka terlibat dengan sistem pemilihan yang diwujudkan, dan menjadikan mereka sebahagian dari proses kematangan berpolitik.

Didalam kempen peringkat awal ini belum ternampak lagi perbuatan amalan songsang seperti rasuah politik. Kempen utama yang dijalankan adalah melalui Fb, Twitter dan blog, dan kempen itu dijalankan oleh penyokong-penyokong tanpa melibatkan wang atau kuasa politik.

Kerancakan kempen akan meninggi apabila sudah dipastikan nanti calon-calon yang akan bertanding.

Sistem pemilihan yang diwujudkan oleh PKR adalah unik dan sistem ini tidak membolehkan permainan wang kerana pengundi-pengundinya melibatkan 400,000 anggota diseluruh Negara. Walaupun sesuatu Cabang menyokong seseorang calon, belum pasti lagi anggota-anggota didalam Cabang itu akan mengundi mengikut ketentuan Cabang. Hanya anggota-anggota di peringkat Cabang itu sendiri yang dapat menentukan, dan dimanakah jaminan bahawa anggota-anggota yang ramai itu boleh mengikut telunjuk pimpinan Cabang?

Pencalonan untuk pimpinan Cabang dan pencalonan untuk pimpinan Pusat dibuat pada hari yang berlainan, dan PKR mempunyai "SPR" sendiri untuk mempastikan pencalonan dapat berjalan dengan saksama dan pengundian dapat dijalankan dengan sempurna.

Setiap orang yang merasakan diri mereka layak untuk bertanding samada di peringkat Cabang mahu pun di peringkat Pusat boleh mengemukan pencalonan dengan syarat ada penyokong dan pencadang.

Maka amatlah demokratiknya sistem ini apabila Menteri Besar pun ditentang oleh anggota-anggota biasa, dan amalan ini tidak pernah berlaku kepada amalan-amalan didalam UMNO.

Menteri Besar Selangor adalah seorang Pentadbir negeri yang berwibawa dan berjaya membawa Selangor ke tahap yang lebih maju dengan pelbagai program sosio-ekonomi yang tidak pernah dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum ini. Tetapi itu tidak menghalang anggota-anggota parti dari mencalonkan diri untuk menentangnya. Dan sudah tentu proses ini akan mematangkan parti dan calon-calon termasuk Menteri Besar itu sendiri setelah pemilihan sudah berlaku kelak.

Pertandingan yang sangat rancak kini adalah untuk Timbalan Presiden. Walaupun mungkin ada lebih dari dua orang calon, namun fokusnya nanti hanyalah kepada 2 orang calon sahaja iaitu YB Azmin Ali, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor yang juga Naib Presiden parti, dan Datuk Zaid Ibrahim, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan merangkap Anggota Majlis Pimpinan Pusat.

Kedua-dua calon ini sangatlah berwibawa. Azmin merupakan pimpinan yang setia dengan parti menjelma semasa zaman reformasi, mempertahankan parti didalam apa keadaan sekalipun, seorang pemimpin yang telah menjalani ujian getir dan beliau merupakan seorang pemimpin yang sudah terbukti. Manakala Zaid Ibrahim merupakan tokoh yang sangat disenangi kerana sifatnya yang tidak mementingkan diri apabila sanggup letak jawatan sebagai Menteri demi prinsip yang dipegangnya dan kepimpinan beliau boleh membawa kelainan kepada parti untuk membawa parti ke Putrajaya.

Persaingan ini nampak cemar sedikit apabila ada unsur-unsur fitnah yang tidak sepatutnya berlaku dan reaksi oleh sesuatu pihak terhadap unsur fitnah itu boleh merugikan parti dari segi pandangan umum, semoga reaksi berlebihan tidak lagi diungkit yang kelak nanti akan digunakan oleh media-media khususnya media yang menentang parti.

Ada pihak berpendapat bahawa kedua-dua kumpulan ini terlalu ghairah kerana jawatan Timbalan Presiden itu masih lagi disandang oleh Dr Syed Husin Ali, seorang pemimpin veteran yang dihormati didalam parti. Syed Husin adalah seorang tokoh politik yang tidak pernah memperjuangkan kepentingan diri sendiri, seorang yang penuh berdisiplin, dan tidak pernah mencari kepopularan diri. Beliau adalah pemimpin yang sangat berperinsip.

Beliau masih belum membuat pengumuman samada mahu mengekalkan jawatannya atau melepaskan jawatan itu. Setidak-tidaknya, calon-calon yang mahu merebut jawatan Timbalan Presiden itu perlulah menemui Dr Syed Husin bertanya khabar, menghormati beliau sebagai orang yang sangat disegani didalam parti, bertanyakan samada beliau mahu melepaskan jawatan atau pun tidak.

Ramai dari kalangan anggota-anggota parti masih mahu Dr Syed Husin mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden. Kombinasi Dato Seri Anwar Ibrahim/Dato Seri Wan Azizah/Dr Syed Husin Ali adalah mantap untuk kebaikan parti, dan kombinasi ini sangat diperlukan untuk berhadapan dengan PRU-13 nanti.

Ramai anggota sangat berharap agar mana-mana pihak yang mahu bertanding sebagai Timbalan Presiden menunggu dulu keputusan Dr Syed Husin Ali, dan sewajarnya mereka menumpukan kepada jawatan Naib Presiden. Anggota-anggota turut memerhatikan gelagat mereka. Hanya mereka yang sabar sahaja akan diberikan keyakinan untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden.

Selain dari kerancakan ini, tidak langsung ada persamaan diantara pemilihan yang berlaku didalam PKR dengan apa yang berlaku didalam UMNO.

Kita berkeyakinan bahawa PKR akan menjelma sebagai sebuah parti yang lebih kukuh, kuat dan bersatupadu selepas pemilihan nanti.


>

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails