Wednesday, September 22, 2010

Pembunuh Syafiah Humaira dihukum Mati pada Hari Jadinya

SHAH ALAM, 22 Sept – Amat memeritkan, tetapi itulah kenyataan yang harus diterima.

Seorang pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-28 hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, Februari lepas.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala Mohd Fazli Azri diwakili peguam Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lepas, mahkamah telah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

Mohd Fazli Azri didakwa membunuh Syafiah Humaira, yang merupakan anak teman wanitanya, di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang kali pada pukul 6.30 petang 25 Februari lepas.


Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli Azri, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohtarudin berkata pembelaan tertuduh bahawa mangsa mengalami kecederaan akibat terjatuh daripada motosikal adalah tidak selari dengan keterangan pakar perubatan mengenai kecederaan sebenar mangsa.

Beliau berkata pembelaan tertuduh bahawa mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk ke dinding semasa sedang mandi dan bermain di tandas juga tidak pernah diceritakan oleh tertuduh kepada sesiapa.

Mohtarudin seterusnya berkata dakwaan tertuduh bahawa dia berada dalam keadaan mabuk dan dipengaruhi dadah semasa kejadian tidak boleh diterima sebagai pembelaan.

“Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang melihat kejadian yang berlaku di padang, adalah jelas tertuduh dalam keadaan waras. Fakta bahawa tertuduh memandu teksi dari rumah ke padang dan balik jelas tidak konsisten dengan keadaan orang yang mabuk.

“Pembelaan juga memanggil ibu mangsa yang memberi keterangan bahawa tertuduh ada tabiat mengambil dadah dan minum minuman keras. Seharusnya pembelaan soal (saksi) semasa di peringkat pendakwaan dan bukannya semasa peringkat pembelaan.

“Justeru saya dapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan dan di bawah undang-undang hanya ada satu hukuman iaitu tertuduh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Sejurus mahkamah membuat keputusan, tertuduh kelihatan memandang ke atas dan ke kanan sambil tersenyum manakala anggota keluarganya yang hadir di mahkamah mengalirkan air mata.

Apabila prosiding berakhir, suasana menjadi hiba apabila ibu tertuduh, Norhaziah Yusof terus berlari dan memeluk erat Mohd Fazli Azri sambil meraung-raung menyatakan bahawa anaknya tidak bersalah.

“Abang tidak bersalah, mama yang bersalah. Biarlah mama yang mati,” kata wanita itu menyebabkan tertuduh, yang pada mulanya kelihatan tenang, mengalirkan air mata sambil meminta ibunya mengawal emosi.

Norhaziah, yang tidak dapat mengawal kesedihannya, pengsan sebanyak dua kali sehingga terpaksa dipangku dan ditenangkan oleh anggota keluarganya yang lain.

Siti Nurhanim yang turut hadir di mahkamah kemudian mendapatkan Mohd Fazli sambil menangis dan tertuduh seterusnya dilihat mencium pipi wanita itu semasa dia digari semula untuk dibawa ke lokap mahkamah sebelum dihantar ke penjara.


Wajah binatang itu..

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, tertuduh sempat mengucapkan terima kasih kepada pemberita yang masih berada di galeri awam.

Anggota keluarga tertuduh kemudian dilihat menghalang jurugambar daripada mengambil gambar mereka ketika membawa Norhaziah keluar dari mahkamah.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Siti Nurhanim berkata beliau tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan ketika ditanya sama ada beliau memaafkan tertuduh, Siti Nurhanim berkata: “Sebenarnya saya tidak pernah marah tertuduh sebab dia tidak bersalah dan dia tidak ada niat untuk bunuh anak saya.”

Ditanya sama ada beliau masih menyayangi Mohd Fazli Azri, Siti Nurhanim berkata: “Sebab dia (tertuduh) terlampau sayang anak sayalah (Syafiah Humaira) saya sayang dia. Tertuduh seorang yang penyayang.”


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails