Monday, September 20, 2010

Nota misteri Teoh ditulis dalam Bahasa Malaysia, Cina

Oleh Boo Su-Lyn
September 20, 2010




SHAH ALAM, 20 Sept — Seorang anggota polis penyiasat memberitahu koroner inkues hari ini, beliau menemui “nota misteri” pada beg sandang Teoh Beng Hock yang mati ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 17 Julai lalu.

Nota itu ditemui sehari selepas Teoh didapati mati di Plaza Masalam, Shah Alam.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo juga mengesahkan bahawa pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal menemui nota kontroversi itu.


Dokumen itu dikhabarkan sebagai nota bunuh diri dikemukakan kepada mahkamah semasa Ahmad Nazri dipanggil untuk memberi keterangan hari ini.

“Hanya ada satu nota, yang dikemukakan sebagai bukti,” kata Gobind.

Kata Gobind, nota itu ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Cina dengan ada kesan cakaran.

Pegawai penyiasat itu memberitahu mahkamah bahawa beliau menyenaraikan nota itu sebagai antara bahan yang ditemui dalam beg milik Teoh.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu dan kematiannya sehingga kini masih menjadi misteri.

Kewujudan nota misteri itu hanya dimaklumkan di mahkamah koroner pada 10 Ogos lalu.

Pada hari yang sama, pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh Ahmad Nazri pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.

Ketika itu, Gobind yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru tersebut.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails