Thursday, September 2, 2010

MAIS melarang Teo memasuki ruang solat masjid

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata telah menerima surat amaran Majlis Agama Islam Selangor (Mais), yang meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Dalam surat amaran itu Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.

Teo berkata surat amaran yang diterima melalui faks menjelaskan sekiranya mahu memasuki ruang solat beliau perlu mendapatkan kebenaran Mais terlebih dahulu.

“Ya, saya sudah terima surat amaran itu pada pukul 1.30 tengah hari (semalam).

“Dalam surat itu mengatakan bahawa saya dilarang memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tanpa kebenaran Mais terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau akan mengambil peringatan daripada surat tersebut dan akan merujuk kepada Mais terlebih dahulu sebelum ke masjid dan surau.

“Sudah tentu saya akan ambil peringatan, ini adalah titah Sultan Selangor.

“Apa lagi yang saya boleh buat?

“Saya kena patuh kepada titah Sultan Selangor kerana dalam surat itu Mais kata ia adalah titah daripada Sultan Selangor,” katanya lagi.

Teo sebelum ini dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails