Saturday, September 25, 2010

Konspirasi Anak-Beranak Dalam PKR?

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Pengumuman Nurul Izzah Anwar untuk turut bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) November ini seolah-oleh mengesahkan wujudnya konspirasi 'politik anak-beranak' dalam parti itu.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, beliau menjangkakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tawaran jawatan kepada anak sulungnya itu bagi memastikan perancangan untuk memenangkan calon tertentu jadi kenyataan.

"Tindakan Nurul Izzah sangat meragukan, dulu kata tak mahu bertanding, tapi sekarang sedia bertanding... dulu kata sokong Zaid (Ibrahim), tapi sekarang ambil sikap berkecuali pula.

"Jadi ia menggambarkan bahawa Anwar mungkin telah membuat tawaran jawatan penting dalam parti sekiranya anaknya itu menyokong Azmin (Ali) bagi jawatan Timbalan Presiden," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Beliau mengulas pendirian terbaru Nurul Izzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR setelah menerima lapan pencalonan setakat ini.


Malah pada masa yang sama Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengumumkan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana calon yang bertanding pada pemilihan parti itu nanti.

Sebelum ini Nurul Izzah dilaporkan mengakui wujud perbezaan pendapat dalam keluarganya terutama berhubung perebutan jawatan Timbalan Presiden yang ditandingi dua calon popular iaitu Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Zaid Ibrahim.

Mengulas lanjut Saidatul Badru bagaimanapun berkata, Nurul Izzah berhak untuk bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti itu namun tetap meragui keupayaan dan kredibilinya dalam berpolitik.

"Memang itu hak setiap ahli, tapi dia itu siapa? Baru setahun jagung dalam politik... belum cukup pengalaman. Lainlah kalau nak bertanding jawatan Ketua AMK (Angkatan Muda Keadilan).

"Ini tidak, terus nak lompat ke jawatan yang lebih tinggi... lainlah kalau dia ada 'pakatan' dengan bapanya untuk diberikan jawatan itu," katanya.

Selain itu beliau berkata keadaan ini menggambarkan Anwar selaku penasihat menjadikan PKR sebagai parti milik keluarga apabila membuat perancangan meletakkan isteri dan anak memegang jawatan tertinggi dalam parti.

"Dia buat parti ini milik peribadi, semuanya dia yang aturkan, maka jadilah parti ini parti anak-beranak," katanya.

Dalam pada itu, Saidatul Badru turut menasihatkan agar ahli dan penyokong PKR menilai situasi berkenaan dengan sewajarnya agar tidak tidak terus ditipu untuk kepentingan individu tertentu.

"Saya harap penyokong PKR sedar, buka mata...jangan biarkan diri terus ditipu dengan permainan politik Anwar demi kepentingan peribadinya semata-mata," katanya.


mStar Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails