Sunday, September 5, 2010

Khusrin Dinasihat Rujuk Fatwa Jika Cetek Pengetahuan Agama

Oleh Faizal Ezzany

SHAH ALAM 4 Sept - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menasihatkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang beliau anggap mempunyai pengetahuan agama yang cetek supaya merujuk kepada fatwa berhubung isu orang bukan Islam memasuki masjid atau surau yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan 1 Mac lalu sebelum membuka mulut mengenai apa-apa perkara berkaitan Islam.

Khalid juga menganjurkan supaya Mohammed Khusrin meneliti fakta sesuati isu bersangkutan agama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan jika beliau tidak pasti samada apa yang dikatakan berlandaskan fajta atau sebaliknya.

"Nampak pengetahuan yang ada pada Khusrin terlalu cetek, sepatutnya beliau merujuk terlebih dahulu kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang telah membincangkan hukum pelancong bukan Islam memasuki masjid dan ruang solat utama.

"Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walau bagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang," kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini Selasa lalu.

Menyentuh mengenai kenyataan Mohammed Khusrin dan tindakan Umno yang mempolitikkan kehadiran Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al Huda di Kajang Sentral 22 Ogos lalu, Khalid membidas ia adalah satu fitnah besar serta menyifatkan Umno telah membina tembok penghalang yang besar dalam perpaduan kaum di negara ini.

"Banyak fitnah yang telah dimainkan oleh Umno di dalam bulan Ramadhan ini, daripada isu doa ketika khutbah Jumaat yang menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sehinggalah kepada kes terbaru yang membabitkan Ahli Parliman Serdang. Umno memfitnah tanpa meneliti terlebih dahulu apa sebenarnya yang berlaku.

"Malah dalam kes Teo saya melihat, Pengarah Jais telah mengeluarkan pelbagai kenyataan di media tanpa merujuk kepada Mufti terlebih dahulu. Kenapa beliau tidak melihat fatwa yang telah dikeluarkan berkenaan isu orang bukan Islam memasuki surau atau masjid, kalau ilmu pengetahuan masih lagi cetek beliau perlu membuat rujukan terlebih dahulu barulah mengeluarkan kenyataan ini tidak hanya mengikuti telunjuk Umno yang sudah tentu jahil dalam bab-bab sedemikian.

"Bagi saya tidak menjadi masalah kalau orang bukan Islam ini memasuki surau ataupun masjid kerana tidak pernah timbul masalah kepada penduduk setempat, begitu juga dengan pemimpin Pakatan Rakyat yang memasuki gereja ataupun kuil tidak pernah timbul ketidak selesaan mereka yang berada di dalam tempat tersebut.Malah mereka menyambut pemimpin Islam daripada Pakatan Rakyat dengan baik dan mesra dan begitu juga sebaliknya orang Islam menyambut dengan rasa hormat ke masjid dan surau.

"Tindakan Umno ini telah mencemarkan imej Islam di mata mereka yang bukan Islam, kita dari Pakatan Rakyat sentiasa berusaha membentuk silaturahim di dalam perhubungan sesama kaum dan juga agama di negara ini tetapi Umno mengambil pendekatan yang terpesong cuba menakutkan orang bukan Islam dengan pelbagai kecaman," tegasnya.

Ketika ditanya berkenaan dengan kewibawaan Khusrin sebagai Pengarah Jais yang dilihat telah mengeluarkan pelbagai kenyataan yang lebih mirip kepada politik serta membuat kecaman tanpa merujuk kepada mufti mahupun fatwa, beliau akan meminta kerajaan negeri mengkaji semula kedudukan Khusrin di jabatan itu.

"Saya akan menulis surat kepada kerajaan negeri bagi menilai semula kedudukan Khusrin di Jais, mungkin langkah terbaik kita kemukakan cadangan pindahkan beliau ke tempat lain agar tiada lagi jawatan beliau digunakan untuk kepentingan politik Umno.

"Bila melihat Umno ini terlalu membentuk benteng perpaduan antara kaum mungkin paling layak Umno ditukar kepada 'Unfriendly Malay Nation Organization', sebab terlalu banyak kenyataan fitnah dikeluarkan Umno dalam soal isu bukan Islam," kata Khalid lagi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails