Friday, September 24, 2010

Kes Pembunuhan Sosilawati: Perbualan terakhir diperdengar..

Oleh Khairul Azran Hussin
2010/09/24

Isteri peniaga India dedah rakaman dua minit dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati

KAPAR: Isteri ahli perniagaan India yang hilang di negara ini, S Usharani, 24, semalam mendedahkan rakaman perbualan telefon antaranya dengan seorang peguam yang disyaki terbabit dalam pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Usharani memperdengarkan perbualan kira-kira dua minit yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya dengan peguam itu yang juga suspek utama kes pembunuhan berkenaan pada sidang media di sini, semalam. Rakaman perbualan telefon bimbit jenis Nokia dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan oleh peguam Y Murugan itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek keadaan suaminya, Muthuraja Allal Kanthan, 34.

Turut diperdengarkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis dari Bukit Aman bernama Asisten Superintendan (ASP) Suresh.

Katanya, rakaman panggilan telefon itu dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.


Pada 28 Januari itu saya menghubungi peguam (suspek) dan dia memberitahu berada di luar negara dan menafikan suami saya ada bersamanya. Dia juga memberitahu akan menghubungi saya selepas kembali ke Banting.

Pada 23 Februari pula saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat ASP bernama Suresh dari Bukit Aman. Lelaki itu mendakwa suami saya ditahan polis kerana kesalahan dadah dan meminta RM1 juta untuk membebaskannya, katanya.

Selain dua panggilan itu, Usharani yang tiba dari Chennai, India, kelmarin berkata, beliau turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Muru dari Bukit Aman, juga meminta wang daripadanya untuk membebaskan suaminya.

Usharani berkata, beliau menyerahkan kedua-dua rakaman itu kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) di Bukit Aman, hari ini.

Ketika ditanya polis mengklasifikasikan kes kehilangan suaminya sebagai bunuh, beliau berkata: Saya tak percaya suami saya sudah mati, walaupun polis katakan demikian.

Berita Harian sebelum ini melaporkan Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai mendakwa Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya, iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Bagaimanapun, sejak 19 Januari lalu, beliau gagal menghubungi suaminya.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia pada 8 September lalu dan membuat laporan polis di Banting. Dalam laporannya, beliau memaklumkan suaminya pernah menyebut dia dibawa ke sebuah ladang milik peguam berkenaan.

Kelmarin, polis mengesahkan Muthuraja turut dibunuh dan siasatan kini dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muthuraja yang menjalankan perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai ada hubungan perniagaan dengan suspek dan adiknya sejak 10 tahun lalu.


Berita Harian Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails