Wednesday, September 15, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Tiada bukti mangsa disembelih

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Siasatan polis setakat ini mendapati tiada maklumat menunjukkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu telah disembelih.

Sehubungan itu, polis menafikan laporan dua akhbar yang memetik sumber kononnya keempat-empat mangsa disembelih dengan senjata tajam.


Tajuk besar sebuah berita On-line semalam

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa sehubungan itu berharap pihak media menghentikan laporan berbentuk spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan kes tersebut.

“Saya tidak tahu daripada sumber mana mereka (akhbar terbabit) dapat maklumat mangsa disembelih sedangkan pihak polis masih menjalankan siasatan.

“Setakat ini, siasatan kita menunjukkan tiada maklumat menyatakan mangsa disembelih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan dua akhbar hari ini yang menyatakan hasil siasatan polis tidak menolak kemungkinan Sosilawati dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya telah disembelih menggunakan senjata tajam.

Akhbar terbabit yang memetik sumber menyebut, berdasarkan siasatan, mangsa dikelar di leher sebelum dibakar oleh kumpulan penjenayah terbabit hingga menjadi debu.

Menurut Khairi, pihaknya masih berusaha mengumpul segala bahan bukti dengan bantuan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Jadi, saya harap pihak media menghentikan segala laporan berbentuk spekulasi kerana siasatan masih berjalan.

“Tolong jangan ganggu proses siasatan ini dengan berita sensasi memandangkan kes terbabit belum dibawa ke mahkamah kerana semua keterangan yang diperoleh semasa siasatan akan dikemukakan sebagai bukti semasa pendakwaan nanti.

“Kita tidak mahu selepas bertungkus-lumus mengumpul bahan-bahan bukti dan menyiapkan kertas siasatan namun tiba-tiba timbul masalah untuk mendakwa mangsa disebabkan fakta-fakta sensasi yang disiarkan oleh media,” katanya.


Lidah Rasmi UMNO?

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails