Tuesday, September 14, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Tamak punca pembunuhan?


KUALA LUMPUR 13 Sept – Desakan meminta supaya suspek utama iaitu peguam bergelar Datuk mengembalikan wang miliknya dipercayai menjadi punca jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersamanya dibunuh dengan kejam.

Akibat dihantui rasa tamak, suspek yang berusia 41 tahun itu dikatakan enggan memulangkan wang tersebut dan hilang sifat kemanusiaan sehingga tergamak membunuh keempat-empat mangsa.

Difahamkan, Sosilawati telah menggunakan khidmat firma guaman suspek untuk mengemukakan tender tawaran untuk membeli sebidang tanah di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan tanah terbabit dipercayai gagal menyebabkan Sosilawati menuntut supaya wang miliknya berjumlah jutaan ringgit yang sudah diserahkan kepada suspek dipulangkan.

Menurut sumber, berikutan desakan oleh jutawan kosmetik itu, suspek akhirnya mengatur pertemuan dengan Sosilawati di pejabatnya di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu kononnya untuk memulangkan wang milik mangsa.

Namun, bagi memastikan dirinya tidak ditipu, Sosilawati dikatakan membawa bersama pemandu yang juga pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, untuk menemaninya berjumpa dengan suspek.

Difahamkan, suspek yang mungkin tidak menyangka Sosilawati membawa ramai pembantu kemudian mengajak kesemua mangsa pergi ke ladang miliknya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting untuk berbincang di situ kerana kononnya pejabat guamannya sudah ditutup.

Sebaik sahaja tiba di ladang yang terlindung itu, semua mangsa telah ditahan sebelum dibunuh oleh suspek bersama beberapa konco-konconya yang kini turut ditahan oleh polis.

Setakat ini, polis sudah pergi ke rumah dan pejabat suspek untuk melakukan siasatan terhadap dokumen yang dimilikinya termasuk beberapa buku cek yang ditemui di pejabat guamannya.


Lidah Rasmi UMNO?

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails