Wednesday, September 22, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Suspek utama tunjuk lokasi baru

2010/09/22

BANTING: Suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu, membawa polis ke satu lokasi baru di sini semalam, yang menjadi tempat beberapa lagi bahan bukti dipercayai milik mangsa kes bunuh dan bakar itu, dibuang.

Lokasi baru di sebuah tali air di Kampung Sungai Lang, terletak berdekatan kunci air, kira-kira 300 meter dari Pasar Besar Awam Banting. Suspek utama yang juga seorang peguam, dibawa ke situ untuk menunjukkan tempat semua barang milik mangsa dibuang.

Usaha mencari barang yang cuba dilupuskan suspek kes berkenaan dilakukan tiga anggota penyelam Pasukan Gerakan Marin selama lebih dua jam mulai 3.15 petang.

Mereka dipercayai sedang mencari telefon bimbit milik seorang mangsa, tetapi dalam operasi semalam, pasukan penyelam hanya menemui objek yang kelihatan seperti seutas gelang tangan yang diselaputi lumpur.


Penemuan gelang tangan berkenaan kira-kira jam 4 petang itu menjadi bukti terbaru bagi membantu polis merungkai misteri pembunuhan empat mangsa berkenaan.

Terdahulu, pada jam 2.25 petang, suspek sekali lagi dibawa polis ke pejabatnya di Jalan Kemboja off Jalan Sultan Alam Shah, di sini, dipercayai bagi mendapatkan beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan berhubung kes itu.

Kira-kira 40 minit berada pejabatnya, suspek dilihat dibawa keluar dari bangunan itu dengan dikawal ketat anggota polis dan diikuti dua wanita yang dipercayai kakitangannya.

Seorang anggota polis kemudian dilihat membawa tiga fail yang berisi dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.


Berita Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails