Thursday, September 16, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Suspek disyaki terbabit kes-kes lain

2010/09/16

BANTING: Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, suspek utama siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya turut mempunyai kaitan dengan kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersil di daerah Kuala Langat.

Beliau berkata suspek utama itu yang juga seorang peguam turut disiasat berkaitan kes kehilangan seorang lelaki warga India di sini yang didakwa hilang sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, Khalid berkata laporan polis mengenai ahli perniagaan warga India itu baru dibuat pada 8 September lalu. "Jadi macam mana kita tahu jika tidak ada laporan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Polis Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Timbalannya, Datuk Hussin Ismail, di sini hari ini.


Khalid berkata, peguam tersebut juga didapati mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang wanita di Banting tahun lalu.

Laporan akhbar menyatakan bahawa wanita itu T Selvi, 44 isteri kepada seorang pemilik bengkel kenderaaan dipercayai dibunuh kerana perselisihan faham mengenai urus niaga pinjaman wang yang melibatkan peguam itu.

"Walaupun suami mangsa ada membuat pelbagai ulasan mengenai kes itu, saya tidak bercadang beri apa-apa komen kerana kes itu sedang disiasat," kata Khalid.

Beliau berkata, polis mendapat petunjuk-petunjuk baru mengenai kes pembunuhan wanita itu selepas siasatan dijalankan ke atas pembunuhan Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38.

"Kes ini tidak pernah ditutup dan kita akan lakukan risikan bagi mendapatkan lagi maklumat," kata Khalid.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima tujuh laporan jenayah komersial terhadap peguam itu antaranya kes pecah amanah dan penipuan jual beli tanah sejak tahun 2005 yang membabitkan kerugian RM7.1 juta.

Ditanya sama ada peguam itu "membeli" polis-polis di Kuala Langat, katanya jika sesiapa mempunyai maklumat sedemikian mereka boleh melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tidak akan lindungi orang kita yang menyeleweng," tegas Khalid.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails