Monday, September 20, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Suspek bijak musnah bukti DNA



SHAH ALAM – Walaupun licik menghapuskan bukti asid deoksiribonukleik (DNA), suspek yang terlibat dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain tetap tidak akan terlepas.

Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, berkata siasatan di tempat kejadian (Crime Scene Investigation) melalui kaedah sains forensik akan menjadi petunjuk kepada pakar forensik untuk mengenal pasti bahan bukti.

“Jangan ingat tiada bahan bukti biarpun mangsa dibunuh, dibakar dan abunya dibuang ke sungai, penjenayah boleh terlepas. Pasti ada bukti yang akan ditinggalkan,” katanya, semalam.


Katanya, apa jua cara penjenayah menghapuskan bukti melalui teknik tanam, bakar, diletupkan atau dibuang ke sungai, dalam tahap tertentu, bukti jenayah tersebut pasti timbul.

Menurut Amidon, setiap dua permukaan yang bertemu akan meninggalkan kesan biarpun penjenayah menggunakan sarung tangan dan alatan untuk tidak meninggalkan kesan.

“Dalam kes pembunuhan di Banting ini, suspek memang bijak dalam melupuskan bahan bukti dengan membunuh, kemudian bakar dan membuang ke sungai.

“Ini menyebabkan sampel gigi yang biasanya menjadi sumber utama DNA turut musnah. Namun begitu, pakar forensik mempunyai banyak kaedah lain untuk mencari bukti DNA ini,” katanya.

Beliau berlata, keunikan DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu yang berbeza membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti suspek dengan mudah, sekali gus mempercepatkan penyelesaian siasatan sesuatu kes jenayah

“Ia boleh diperoleh melalui pelbagai cara antaranya cap jari, titisan peluh, air mani, rambut dan sebagainya. Penghapusan bukti secara total tidak semudah yang disangka,” katanya.

Merujuk kepada kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, Amidon menyifatkannya sebagai jenayah terancang yang sangat kejam seperti mana kes pembunuhan penganalisis Teknologi Maklumat, Canny Ong dan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Katanya, dengan melibatkan individu berprofil tinggi dan minat masyarakat untuk mengetahui perkembangan terkini berhubung penyiasatan kes tersebut, pakar forensik perlu teliti dalam mengenal pasti DNA empat mangsa.

“Pastinya sukar kerana mangsa telah dibakar dan abunya dibuang di sungai berhampiran, namun tulang-tulang mangsa boleh memberi petunjuk kepada pakar forensik mengenal pasti mangsa,” katanya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails