Wednesday, September 15, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Polis temui 6 keping zink dipercayai alas pembakaran

Penyelam Pasukan Gerakan Marin telah menemui Enam keping atap zink yang mempunyai kesan terbakar, dipercayai digunakan suspek sebagai alas ketika membakar mangsa kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain..


SEBILAH pisau ditemui ketika operasi menyelam di tebing sungai
Kanchong Laut, Kampung Endah, semalam.

Tiga jam tangan berjenama, kunci kereta Sosilawati dijumpai

BANTING: Enam keping atap zink yang mempunyai kesan terbakar, dipercayai digunakan suspek sebagai alas ketika membakar mangsa kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditemui penyelam Pasukan Gerakan Marin, di Sungai Gelanggang Buaya, di Kampung Kelanang, dekat sini, petang semalam.

Penemuan atap zink itu hasil soal siasat dua suspek yang turut dibawa oleh polis ke kawasan pencarian pada jam 5.20 petang semalam. Polis juga menemui dua jam tangan termasuk jenama mewah Rolex dan Longines serta seutas jam tangan Seiko, dipercayai milik mangsa dalam Sungai Kanchong Laut, di sini.

Jam lelaki berjenama mewah yang mempunyai nombor siri dipercayai milik seorang daripada tiga lelaki yang dibunuh, manakala Rolex dipercayai milik Sosilawati. Turut ditemui ketika operasi mencari ialah sebilah pisau dan sebatang besi, tetapi tiada kaitan dalam kes berkenaan.

Difahamkan, polis sedang mencari besi cangkuk sawit yang dikatakan digunakan untuk membunuh keempat-empat mangsa berkenaan. Penyelam dilihat menggunakan alat pengesan besi bagi mengesan senjata dan barang peribadi yang dipercayai dibuang di kawasan berkenaan.

Ketika operasi, polis turut membawa tiga suspek bagi memudahkan pengecaman barang yang dijumpai dan mereka hanya menggeleng atau menganggukkan kepala apabila ditunjukkan barang yang ditemui.
Selain anggota polis dan petugas media, penduduk kampung dan orang awam turut berkumpul di tepi jalan berhampiran lokasi pencarian untuk melihat lebih dekat operasi, manakala anggota Trafik mengawal lalu lintas dan menghalang orang ramai daripada berkerumun lebih dekat di kawasan operasi.

Sementara itu, tiga kenderaan Pasukan Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat memasuki kawasan Ladang Gadong dekat sini, kira-kira jam 5.50 petang bagi membantu polis menyiasat kes bunuh dan bakar itu.

Dalam pada itu, seorang suspek dibawa ke dalam semak berhampiran Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah di Subang Jaya iaitu tempat kereta BMW milik Sosilawati ditemui, bagi mencari barang kes dipercayai kunci kereta mewah berkenaan.

Selepas hampir setengah jam berada di kawasan semak itu, polis menemui barang kes yang mungkin boleh dijadikan bukti.


Berita Harian Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails