Friday, September 24, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Polis Nafi beliau dirogol sebelum dibunuh.

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Polis hari ini menafikan laporan media yang mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan mangsa pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dirogol.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam satu kenyataan di sini menafikan laporan itu, yang disiarkan di muka depan sebuah harian berbahasa Melayu semalam bertajuk ‘‘8 suspek jalani ujian sperma: Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati (gambar) dirogol’’.

Mohd Bakri berkata, “Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan adalah bagi memastikan kesemua suspek dalam keadaan baik serta (untuk) mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan mahupun penyakit yang dialami semua suspek sebelum dibenarkan berjumpa dengan peguam mereka,” katanya dalam kenyataan itu.

Bakri berkata selain itu, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon oleh PDRM kepada pihak hospital ke atas kesemua suspek berkenaan.


Laporan akhbar itu mendakwa kesemua suspek termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di HKL dua hari lepas.

Difahamkan juga sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol.

Dikatakan juga bahawa pengambilan sampel semua suspek itu adalah yang kedua selepas kali pertama minggu lalu berikutan ada penemuan beberapa petunjuk baru dalam siasatan kes berkenaan.

Sumber yang diperolehi oleh akhbar tersebut juga mengatakan bahawa proses itu sebahagian daripada prosedur standard Operasi PDRM khusus untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Bakri juga mengulas laporan yang disiarkan di muka surat enam sebuah harian berbahasa Inggeris hari ini yang bertajuk ‘‘Suspect Claims Abuse By Cops’’ mengenai dakwaan bahawa suspek dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati dipukul dan dipaksa menandatangani beberapa dokumen oleh polis.

“Pihak polis ingin menasihatkan pihak berkenaan supaya membuat laporan polis dengan segera bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya.

‘‘Datuk’’ itu dan adiknya yang juga seorang peguam adalah suspek pertama yang ditahan polis pada 9 September di Banting, manakala enam lagi ditahan pada 10 September.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan polis telah mendapat perintah tahanan reman sehingga 30 September ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails