Tuesday, September 14, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Polis buka semula SEMBILAN kes lama

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Polis dilaporkan sedang menyiasat dan membuka semula fail sembilan kes lama — yang mirip modus operandi pembunuhan jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pengiring beliau yang disahkan mati kelmarin.

Siasatan awal polis menunjukkan kesemua mereka dibunuh dan kesan mayat dihilangkan menggunakan cara yang sama.


Anggota polis mencari bahan bukti di dalam sungai berhubung kes .
Foto Bernama

Akhbar The Star hari ini melaporkan, kesemua yang dilaporkan hilang setakat dikaitkan dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan berhubung kes Sosilawati.

Kebanyakan kes lama membabitkan peguam.

Kedua-dua adik-beradik berkenaan dikatakan suspek utama kes empat mangsa terbaru ini yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir meninggalkan Kuala Lumpur 30 Ogos lalu.

Kelmarin, polis berkata pihaknya sedang menyiasat empat kes lama yang dilaporkan tahun lalu termasuk membabitkan seorang warganegara India ekoran pengakuan daripada suspek yang ditahan.

Akhbar The Star memetik Ketua Polis Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Datuk Wira Ayub Yaakob melaporkan, pihaknya akan membuka kes pembunuhan melibatkan seorang peguam R Thinakaran yang mati dibunuh pada 27 Julai 2009, peguam sivil kanan Datuk S.P. Annamalai pada 6 November 2007, peguam Chew Sien Chee, 39, pada 2 Mac 2000, peguam jenayah S. Pathmanathan, 29 pada 19 Oktober 1997 dan Triptipal Singh, 60 pada 15 Oktober 1992.

Akhbar itu juga berkata polis sedang menyiasat laporan orang hilang sepanjang tempoh 36 bulan lalu tetapi kebanyakan aduan dibuat tidak cukup bukti yang kukuh.

Laporan New Straits Times pula melaporkan kesemua empat mangsa terbaru mati selepas mereka dikelar oleh pembunuh mereka.

Sosilawati dikatakan menemui peguam-peguam terbabit untuk mendapatkan semula wang pendahuluan berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang telah gagal.

Sosilawati dijanjikan wang yang mencecah jutaan ringgit itu akan dipulangkan tetapi perlu menemuinya di firma mereka di Banting.

Bagaimanapun peguam adik-beradik berkenaan dikatakan terkejut apabila mendapati Sosilawati datang bersama pegawai bank dan peguam sedangkan mereka menjangkakan Sosilawati hanya akan datang bersama pemandunya.

Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan di firma peguam tetapi disebabkan pejabat tutup mereka bertemu di ladang ternakan yang terdiri daripada kemudahan mewah dan canggih.

Kesemua empat mereka dikatakan dibunuh pada hari yang sama.

Laporan sebelum ini menyebut mereka dipukul sampai mati dan kemudian dibakar.

Sementara itu, Berita Harian menyebut, senjata berbentuk cangkuk diguna untuk membunuh Sosilawati sebelum dibakar.

Akhbar itu melaporkan perkara tersebut didedahkan oleh seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.

Akhbar yang sama juga melaporkan bahawa 'ladang maut' itu yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dipercayai dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah.

Pusat penternakan itu juga mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih termasuk bilik karaoke.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Selain Sosilawati, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mengenai motif kejadian tragis itu, Bakri berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Malah menurut Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails