Saturday, September 18, 2010

Kes Bunuh Sosilawati: Pekida berkabung

Kira-kira 120 anggota Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) hadir ke rumah Noorhisham Mohamad yang mati dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya pada 30 Ogos lalu bagi menyertai bacaan Yaasin dan tahlil kepada arwah.

Majlis itu diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang pada jam 12.00 tengah hari diketuai oleh Pengerusi hal ehwal khas Pekida Shahril Abdul Aziz.

Noorhisham - seorang pegawai bank, Sosilawati, pemandu jutawan kosmetik itu Kamaruddin Shansuddin dan peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor.


Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Shahril menyalahkan majlis peguam yang didakwanya "gagal membersihkan peguam-peguam yang bermasalah".

"Sepatutnya Majlis Peguam mengambil langkah-langkah yang lebih tepat dengan mengasingkan peguam-peguam bermasalah dengan membuat penyataan terbuka di dalam media ataupun memperkenalkan kad kuasa yang mesti diperbaharui setiap tahun sebelum peguam-peguam mahu menjalankan perniagaan mereka," katanya.

Justeru, Shahril mencadangkan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat majlis berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan seorang peguam merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam itu.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Roslan Dahaman dan Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (PERWARIS) Rahimuddin Md Harun.

Sejurus selepas tamat sidang media itu, kelihatan beberapa orang yang hadir membakar kain rentang bertulis "Presiden majlis peguam mesti letak jawatan" tanda tidak puas hati mereka.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kecekapan polis menyiasat kes itu dengan segera, Shahril juga mengingatkan supaya isu pembunuhan itu tidak dipolitikkan.

"Kami juga mengingatkan dan mempersetankan mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini serta merendah-rendahkan kewibawaaan serta martabat PDRM...," katanya.

Sebelum itu, pertubuhan itu juga membuat kutipan wang bagi membantu meringankan beban keluarga Noorhisham.

Kelihatan beberapa anggota keluarga pegawai bank itu agak tenang dan menyertai majlis bacaan tahlil di halaman rumah keluarga si mati.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails