Thursday, September 16, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Mangsa mahu tuntut semula RM4j

SHAH ALAM - Suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain dipercayai membayar sejumlah wang kepada pekerjanya bagi melakukan pembunuhan kejam terhadap mangsa.

Berikutan itu, mereka dikatakan membunuh mangsa menggunakan senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.


Bagaimanapun, difahamkan operasi mencari senjata berkenaan masih gagal berikutan air sungai yang keruh.

Sebelum kejadian, suspek yang juga peguam bergelar Datuk itu, dipercayai bersama Sosilawati menaiki keretanya yang dipandu oleh pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, menuju ke ladangnya bagi membincangkan urusan jual beli tanah.

Sosilawati, 47, dikatakan bersama dua lagi, iaitu pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, menemui suspek bagi mendapatkan semula wang itu selepas proses pembelian tanah tidak dilakukan.

Rakannya yang enggan namanya disiarkan memberitahu, dia mengetahui mengenai hasrat mangsa untuk membeli tanah dan tahu bahawa suspek utama itu adalah individu yang bertanggungjawab menguruskannya.

"Bagaimanapun apabila menyedari ada berlaku penipuan, mangsa (Sosilawati) berusaha mendapatkan semula wang berjumlah RM4 juta yang sudah diserahkan kepada suspek dalam bentuk cek.

"Beliau (Sosilawati) sendiri akhirnya bertindak berjumpa dengan suspek bagi mendapatkan wang tersebut.

"Kalau tak salah, wang berkenaan diserahkan melalui cek atas nama suspek," katanya.

Suspek dikatakan berjanji untuk mengembalikan wang berkenaan selepas raya, tetapi Sosilawati mahu wang itu dikembalikan sebelum hari raya.

Dalam perkembangan sama, difahamkan keempat-empat suspek dibunuh oleh seorang lagi suspek yang berusia 19 tahun, kerana dia dikatakan berhati kering, dibandingkan dengan yang lain.

Suspek kemudiannya membiarkan mangsa menggelupur kesakitan hingga menemui ajalnya sebelum mereka membakarnya bersama tiga yang lain.

Difahamkan, tahi lembu juga digunakan untuk mempercepatkan proses pembakaran semua mangsa bagi menghilangkan bukti dengan segera untuk mengelak perbuatan mereka dihidu.

Pisau yang digunakan dipercayai dibuang ke sungai berdekatan bersama abu mayat yang dihanyutkan ke laut.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails