Wednesday, September 15, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : Dua kes orang hilang ada kaitan dengan suspek

BANTING, 15 Sept – Terdapat dua kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan peguam bergelar Datuk yang menjadi suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lain, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

“Kami sedang menyemak semula kes orang hilang yang dilaporkan di Selangor, dan apabila disiasat dua daripada kes orang hilang itu didapati mempunyai kaitan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sebuah restoran di sini hari ini beliau berkata kes itu melibatkan kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan Cina.

Peguam berusia 41 tahun yang bergelar Datuk itu adalah antara lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ahad lepas polis mengesahkan kempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong dekat sini.

Khalid sebelum itu dilihat melawat lokasi kejadian di Ladang Gadong bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop kira-kira pukul 10.30 pagi, dan keluar sejam kemudian.

Abu Seman ketika ditemui berkata kehadiran beliau di situ adalah untuk melawat anggota-anggota polis yang sedang bertugas di lokasi berkenaan pada Hari Raya.

Sementara itu Khalid mengingatkan pihak media agar tidak melaporkan kes pembunuhan itu secara melampau, dengan membuat pelbagai andaian sendiri.Katanya selain menyulitkan siasatan polis, spekulasi yang ditimbulkan media juga boleh merunsingkan fikiran anggota keluarga mangsa yang masih sedih dengan berita kematian itu.

“Tolonglah, jangan tulis benda-benda yang tak disahkan. Jangan tulis cerita-cerita yang awak (media) dengar-dengar sahaja,” katanya.

Sementara itu seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ditemui di restoran itu berkata peguam bergelar Datuk itu sering berkunjung ke restoran berkenaan, dan dia memang dikenali di kalangan penduduk kawasan itu.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails