Thursday, September 23, 2010

Kes Bunuh Sosilawati : 8 suspek jalani ujian SPERMA

2010/09/23
Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati juga dirogol




KUALA LUMPUR: Lapan suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan kes kehilangan ahli perniagaan India, termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Difahamkan, sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol.

Dalam pada itu, Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan kepada polis kerana berpendapat siasatan lanjut perlu dijalankan. Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sudah memberi beberapa arahan baru untuk disiasat polis.


Peguam Negara juga meminta polis menyiasat lanjut kes-kes lain yang mempunyai kaitan dengan suspek yang ditangkap (berhubung pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya).

Polis menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lalu, dan Peguam Negara mendapati ada banyak lagi perlu dibuat siasatan lanjut. Kertas siasatan itu dikembalikan kepada polis pada hari sama, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan sudah menerima kembali kertas siasatan awal itu daripada Jabatan Peguam Negara dan menyifatkannya sebagai prosedur biasa bagi memperkukuhkan siasatan kes.

Sementara itu, difahamkan pengambilan sampel semua suspek itu adalah yang kedua selepas kali pertama, minggu lalu berikutan ada penemuan beberapa petunjuk baru dalam siasatan kes berkenaan.

Sumber memberitahu Berita Harian, proses itu sebahagian daripada prosedur standard operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), khusus untuk memperlengkapkan kertas siasatan kes berkenaan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Polis menemui beberapa bukti dan maklumat baru sepanjang proses siasatan, di mana penemuan itu memerlukan pengambilan sampel darah dan air mani suspek. Ini bertujuan melengkapkan kertas siasatan seperti diarahkan Peguam Negara, katanya.

Kelapan-lapan suspek lelaki terbabit, iaitu enam berkaitan kes pembunuhan Sosilawati dan dua lagi berhubung kehilangan ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan tiba di Jabatan Patologi HKL kira-kira jam 3 petang, menaiki empat kenderaan berasingan dengan kawalan ketat pasukan khas yang mengendalikan kes itu.

Proses ini berlangsung selama dua jam sebelum suspek dihantar semula ke Pusat Tahanan Sementara di Bukit Jalil kira-kira jam 5 petang, katanya.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38, di sebuah ladang persendirian di Morib, Banting pada 30 Ogos lalu.

Semua mangsa dilaporkan diikat, dipukul dan ditikam sampai mati sebelum mayat dibakar serta abu mereka dibuang ke beberapa sungai berhampiran.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Turut ditahan dua suspek lelaki berusia 30 dan 34 tahun berhubung siasatan kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja, 34, dari Chennai, India pada 18 Januari lalu, yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes Sosilawati.


Berita Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails