Tuesday, September 28, 2010

Kes Bunuh Sosilawat : 2 Abang Usahawan India Beri Kenyataan

Dua abang usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini, Isnin memberi kenyataan berhubung perkara itu kepada pegawai kanan Suruhanjaya Tinggi India di Jalan Taman Duta di sini.

Gambar: Adik kepada kepada jutawan dari India yang hilang, Allal Kanthan Muthuraja, Vijaya Subramaniam (kiri) dan Dr Rasi Visuanathan ketika keluar dari Kedutaan India. foto: Bernama

Vijaya Subramaniam dan adiknya, Dr Kasi Viswanathan tiba di bangunan suruhanjaya tinggi itu pada 3.30 petang dengan ditemani bekas anggota Majlis Tertinggi MIC K P Samy, sebelum dilihat beredar keluar dari bangunan kira-kira 5 petang.

Dr Kasi berkata mereka akan berada di ibu kota sehingga kes kehilangan Muthuraja selesai, manakala ibu bapa mereka akan datang jika diminta berbuat demikian oleh Polis Diraja Malaysia.


"Kami menunggu polis Malaysia memberikan jemputan rasmi kepada kedua ibu bapa kami... Saya akan berada di sini sehingga masalah selesai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar bangunan suruhanjaya tinggi di sini, Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kedatangan kedua-dua abang jutawan itu.

"Pihak polis tidak mengetahui tentang kehadiran mereka, mungkin mereka dijemput oleh pihak suruhanjaya," katanya.

Muthuraja, 34, dilaporkan hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, sejurus tiba di Malaysia pada 18 Jan lepas.

Isteri mangsa, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas, dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat Jumaat lepas.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails