Tuesday, September 28, 2010

Isu wang ihsan : Reezal Merican HIPOKRIT!!


Reezal Merican yang hipokrit sedang menunjukkan bukti

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pemuda Sosialis DAP mendakwa Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mempersoalkan skim wang ihsan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mendakwa ia bersumberkan hasil judi sebagai buta maklumat dan hipokrit.

Ketua Pemudanya Loke Siew Foo berkata, buat masa ini sebahagian hasil kerajaan persekutuan juga adalah hasil judi dan ia bukan perkara baru.

Kata beliau, hasil daripada aktiviti perjudian adalah dikategorikan sebagai hasil cukai kepada kerajaan.


Beliau memberitahu berdasarkan pada Perlembagaan Persekutuan Perkara 97 dan Akta Tatacara Kewangan 1957 (semakan) 1972 semua hasil atau terimaan yang diterima oleh kerajaan persekutuan hendaklah dikreditkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan adalah terdiri dari tiga akaun utama iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

Loke berkata, bagi semua hasil daripada bayaran cukai ia akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan sama seperti semua hasil kerajaan yang lain dan digunakan untuk tujuan belanja mengurus dan pembangunan negara.

“Pada masa ini, kerajaan tidak ada memperuntukkan sejumlah peruntukan yang khusus bagi menangani masalah sosial akibat ketagihan judi.

“Namun kerajaan pada setiap tahun menyediakan peruntukan dalam bajet tahunan kepada kementerian-kementerian berkaitan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti sosial,” katanya.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga sedang dalam peringkat kajian untuk mewujudkan satu kod yang khusus dalam Akaun Hasil Disatukan bagi mengakaunkan semua kutipan daripada aktiviti perjudian dan ia akan disalurkan kepada perbelanjaan yang dibenarkan oleh syariat Islam.

“Saya yakin Reezal fasih dalam Bahasa Malaysia dan boleh memahami maksud jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Presiden parti yang diwakili oleh Reezal,” katanya.

Soalan beliau di Dewan Rakyat pada 9 Jun lalu berbunyi “sama ada hasil cukai perjudian diasingkan daripada Akaun Hasil Disatukan, mekanisme untuk menguruskan hasil judi, kegunaan hasil ini dan berapa peratuskah hasil ini disalurkan untuk menangani masalah sosial akibat daripada masalah perjudian.”

Kata beliau, untuk maklumat Reezal juga, hasil cukai perjudian yang dikutip oleh kerajaan persekutuan yang dipimpin Barisan Nasional adalah berjumlah RM2.3 bilion sepanjang tahun lalu.

“Ini termasuklah cukai daripada kasino di Genting, cukai pertaruhan dari nombor ramalan seperti Magnum, Sports Toto dan sebagainya.

“Angka ini juga bukan direka oleh saya tetapi telah dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Senator Awang Adek di Dewan Rakyat pada tempoh hari.

“Untuk rekod, Senator Awang Adek juga merupakan pemimpin daripada parti yang sama dengan Reezal,” katanya.

Oleh itu kata beliau, untuk pengetahuan Reezal, sebahagian perbelanjaan mengurus negara dan perbelanjaan pembangunan adalah dari sumber hasil perjudian yang dikatakan haram oleh Reezal.

“Ini termasuklah elaun dan gaji Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin parti kesayangan Reezal,” katanya.

Dalam kenyataann Jumaat lalu, Pemuda Umno mendakwa bahawa dana dari kelab lumba kuda digunakan sebagai sumber wang ihsan RM100 bagi warga emas negeri itu.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan mendakwaan kenyataan yang dibuat Reezal sehari sebelum itu sebagai “satu pembohongan”.

Lim berkata, wang ihsan adalah hasil penjimatan manakala sumbangan kelab kuda digunakan untuk membantu rakyat miskin tegar bukan Islam.

Menurut Reezal, pihaknya mempunyai sepucuk surat, didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program berkenaan.

Kira-kira seminggu itu beliau mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah dari sumber hasil perjudian.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails