Thursday, September 2, 2010

Isu LDP: Komponen BN tidak boleh angkuh, kata pemimpin UMNO

KOTA KINABALU, 2 Sept — Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin menganggap tindakan Datuk Peter Pang En Yin melepaskan keanggotaannya dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) semalam sebagai langkah berani, dan pada masa yang sama menggesa komponen BN tidak bersikap angkuh.

Setiausaha Umno Sabah ini berkata, keberanian Pang patut dipuji kerana sanggup mengetepikan kepentingan diri sendiri semata-mata mahu terus bersama pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Sabah dan memastikan keharmonian komponen parti berbilang kaum terus terjaga.

“Walaupun beliau kini tidak ada parti, yang pasti tindakannya itu baik dan saya puji kerana beliau berani bertindak,” kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah ini dan menambah, tindakan nekad itu prerogatif Pang sebagai individu.

Pang mengumumkan keluar LDP semalam rentetan krisis antara parti itu dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman (gambar) minggu lalu.

Pang, yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, turut menawarkan untuk meletak semua jawatan dalam kerajaan tetapi tidak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Karamunting.

Beliau juga Naib Presiden LDP.

Menegaskan tentangannya terhadap pendirian LDP, Pang berkata: “Satu-satunya jalan yang boleh saya ambil ialah meninggalkan parti dengan cara terhormat.”

Yahya menambah, mungkin Pang berasakan tidak ada lagi gunanya untuk terus berkhidmat dengan parti yang tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan Musa.

Perkembangan ini turut menunjukkan dalam LDP juga tiada persefahaman di kalangan anggota dan pemimpinnya, kata beliau.

Yahya berkata, ahli dalam BN lain tidak boleh bersikap angkuh hanya kerana ada permintaannya tidak dilayan.

Jelas beliau, tindakan angkuh mereka hanya merugikan banyak pihak terutama parti itu sendiri.

Pang dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah menggantikan Datuk Raymond Tan, bekas timbalan presiden Parti Progresif Sabah (Sapp) Mei tahun lalu, setelah ia keluar BN September 2008.

Raymond menyertai Gerakan selepas sembilan bulan tiada parti.

Ditanya mengenai tindakan BN Sabah dengan perkembangan terbaru itu, kata Yahya, keputusan terletak di tangan Ketua Menteri.

“Ya, kita pasti akan adakan mesyuarat nanti. Tunggulah keputusan Ketua Menteri nanti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Webley Dusin berkata, Pang mengambil jalan yang betul keluar LDP kerana perjuangan parti itu sekarang tidak lagi sesuai dengan matlamat BN.

“Pada pendapat saya, beliau mungkin menyertai Gerakan kerana kedudukannya sekarang tidak berparti dan terpulang kepada Datuk Musa sama ada menerima peletakan jawatannya sebagai timbalan ketua menteri dan menteri sukan dan belia.

“Namun jika beliau tidak kekal sebagai menteri belia dan sukan mungkin berlaku sedikit perubahan dalam Kabinet negeri.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails