Saturday, September 25, 2010

Hari Ini & Esok : 80 Cabang Saksikan Pertarungan

Sebanyak 80 Cabang PKR di sembilan negeri akan menyaksikan pertarungan sengit ketika mana kempen sedang berjalan rancak bagi pemilihan pada Sabtu dan Ahad ini.

Di antara cabang yang dilaporkan menjadi semakin panas dan menyaksikan pertandingan sengit ialah Kota Raja, Subang dan Kapar di Selangor; Batu dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan; Gopeng, Kampar dan Pasir Salak di Perak serta Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau di Pulau Pinang.

Ketua Ketua Cabang Kota Raja menjadi panas berikutan pertarungan tiga penjuru Ahad ini di antara Timbalan Setiausaha PKR Selangor Dr Xavier Jayakumar, Kottapan Sippiah dan Telai Amblam Mariappani.

Malahan pemilihan untuk jawatan Ketua Cabang Subang adalah lebih sengit memandangkan lima calon akan bertanding untuk jawatan itu. Mereka ialah Ahli Parlimen kawasan itu Sivarasa Rasiah, Datuk Shawal Salim, Voolaganathan Periasamy serta dua yang lain.


Di Wilayah Persekutuan, Cabang Lembah Pantai menjadi tumpuan di mana empat calon akan bertanding, Ahli Parlimen kawasan itu Nurul Izzah Anwar, Johari Musa, Azrul Azmi dan Shahrudin Baharom.

Manakala di Cabang Batu pula, menyaksikan pertandingan satu lawan satu, di antara Tian Chua dengan Mohd Nur Kamil.

Di Perak, terdapat pertandingan untuk tujuh Cabang Ahad ini. Cabang yang menjadi tumpuan ialah Cabang Gopeng di mana Ahli Parlimen dan juga Naib Presiden PKR Dr Lee Boon Chye akan menentang dua pencabar termasuk Mohamad Anuar Zakaria.

Cabang Kampar turut menyaksikan perlawanan satu lawan satu di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai Chan Ming Kai dengan Sha’arani Abdul Khalid.

Di Pulau Pinang, juga terdapat perlawanan satu lawan satu di antara Adun Batu Uban Raveentharan Subramaniam dengan Lim Boo Chang bagi merebut kerusi Ketua Cabang Bukit Gelugor Ahad ini.

Turut menjadi tumpuan ialah pemilihan di Cabang Bayan Baru, di mana Adun Pantai Jerjak Sim Tze Tzin akan berdepan dengan M Ngnana Sagaran berikutan kerusi ketua cabang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Mohd Zahrain Hashim yang melompat parti.

Sehingga ini, sebelas negeri selesai membuat pemilihan Cabang PKR 2010 melainkan tiga negeri – Selangor, Sarawak dan Johor – yang dijangka tamat awal Oktober depan.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails