Wednesday, September 8, 2010

Habislah Ibrahim Ali PRU13 ni...

Pesanan Tengku Adnan buat Ibrahim Ali.. “Apa saja yang anda lakukan, tolong fikir dengan baik. Apakah hasilnya? Apa yang anda mahukan untuk Malaysia? Anda mahukan perang saudara?”

Umno tidak sokong Ibrahim di PRU-13, letak calon di Pasir Mas
Oleh G Manimaran dan Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan partinya tidak akan menyokong Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.

Sebaliknya kata beliau, Umno akan meletakkan calonnya seperti yang dilakukan masa-masa lalu di kawasan Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa Umno menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan pertubuhan bukan kerajaan pimpinan Ibrahim - Perkasa.

Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Mengapa Umno harus sokong dia? Umno patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Ibrahim yang dipecat dari Umno pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.

Kemudian beliau mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat Bebas.

Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005 tetapi hanya memperoleh 415 undi dan hilang wang deposit.

Pengkalan Pasir adalah kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Pasir Mas.

Selepas memutuskan hubungan dengan PAS, Ibrahim menubuhkan Perkasa atas matlamat mahu mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertubuhan itu yang kini mempunyai lebih 50,000 ahli di seluruh negara menggesa pentadbiran Najib mempertahankan dasar ekonomi pro-Melayu dan Bumiputera meskipun kerajaan mahu meliberalisasikan ekonomi negara.

Dua minggu lalu Ibrahim mencabar agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan konsep 1 Malaysia dan mengemukakan satu resolusi berkaitan Perkara 153 Perlembagaan kerana gagasan itu bukan bererti kesamarataan hak.

“Sebagai Setiausaha Agung (Umno) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari Umno.

“Apabila mereka bercakap mengenai kawan-kawan saya kalangan Cina atau kawan saya orang India, mereka menyebabkan kami kehilangan lebih banyak undi,” katanya lagi.

Tengku Adnan mengingatkan pemimpin-pemimpin Perkasa bahawa BN perlu memenuhi keperluan dan kehendak semua kaum dan tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana kaum jika mahu terus mentadbir negara ini.

Ketika ditanya nasihat kepada Ibrahim dan Perkasa, Tengku Adnan dengan nada penuh harapan berkata:

“Tolong perlahan sikit.”

“Apa saja yang anda lakukan, tolong fikir dengan baik. Apakah hasilnya? Apa yang anda mahukan untuk Malaysia? Anda mahukan perang saudara?” tanya Tengku Adnan yang sudah menjangkakan reaksi balas ahli Perkasa.

“Saya tahu bahawa apabila saya mengatakan begini, ahli Perkasa akan serang saya,” katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails