Monday, September 6, 2010

Guan Eng dakwa media tidak adil

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri mengedarkan risalah penjelasan kepada umum berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini .
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, risalah itu dikeluarkan untuk menjelaskan kedudukan dan cerita sebenar setelah pihaknya tidak mendapat liputan adil daripada sesetengah media.

“Kita (Kerajaan Negeri) terpaksa mencetak risalah ini kerana tidak berpeluang untuk menjelaskannya di media dan bukan semua media siarkan perkara yang benar. Media yang baik akan siarkan perkara yang baik, yang lain tidak siar langsung.

“Kerajaan Negeri menyediakan dua risalah berasingan yang mana satu daripadanya menerangkan perkara sebenar beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini, manakala satu lagi mengenai usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri menyebabkan UMNO iri hati terhadap kita,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, pengedaran risalah itu adalah lanjutan usaha membersihkan nama baik Kerajaan Negeri yang dicemarkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita jangka isu yang dibangkitkan ini boleh diselesaikan segera namun ia berlanjutan sehingga sekarang seperti di beberapa blog dan yang terbaru adalah fitnah menerusi penyebaran gambar Ketua Menteri menyembelih lembu yang dihasilkan menerusi teknik pertindihan (super impose). Ini perbuatan yang sangat melampau.

“Apa yang mereka lakukan sangat jahat dan keji. Golongan ini sanggup berbuat apa sahaja tidak kira sama ada melalui Internet ataupun media. Oleh itu, kita berharap dengan pengedaran dua risalah ini dapat membersihkan imej Kerajaan Negeri yang selama ini tercalar gara-gara pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, pengedaran dua risalah itu bermula sejak seminggu lalu dengan cetakan 150,000 keping setiap risalah untuk edaran seluruh Pulau Pinang.

Turut hadir pada sidang media itu adalah beberapa wakil dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pas negeri.

Antara maklumat yang terkandung pada risalah itu adalah penjelasan mengenai isu penggantian nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan nama Guan Eng dalam khutbah Jumaat dan kejayaan Kerajaan Negeri melaksanakan pentadbiran berjiwa rakyat yang disenangi rakyat negeri itu.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails